JOHOR BAHRU: Pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) bagi tahun 2020 berpeluang menguruskan emosi masing-masing sebelum menghadapi peperiksaan selepas sesi persekolahan secara bersemuka berakhir, semalam.
Presiden Persatuan Kebajikan Pendidik Ummah Malaysia (Pendidik), Normala Sudirman berkata, tempoh bertenang itu penting bagi mereka melakukan persediaan khususnya daripada sudut psikologi.
“Selain itu tempoh ini juga dapat digunakan bagi membugarkan semula semangat pelajar agar lebih bermotivasi menghadapi detik peperiksaan tidak berapa lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sabtu lalu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim memaklumkan sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon peperiksaan SPM dan SVM tahun 2020 berakhir semalam.
Tujuan perkara itu bagi memberi ruang kepada murid membuat persediaan kendiri sebelum peperiksaan bermula pada 22 Februari ini.
Mengulas lanjut, Normala berkata, calon boleh menghubungi guru atau mengikuti kelas tambahan melalui Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) yang masih boleh berlangsung jika diperlukan.
“Pembelajaran kendiri adalah langkah terbaik menghilangkan tekanan pelajar selain meredakan debaran mereka menjelang peperiksaan SPM dan SVM.
“Masa yang ada ini boleh dimanfaatkan sebaiknya untuk mengulang kaji pelajaran yang perlu diberi fokus tambahan selain memperbaiki kelemahan teknik menjawab soalan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE