ALOR SETAR: Pengunjung di premis makanan diingatkan tidak mencantumkan meja makan sesuka hati sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah, Mohd. Zawawi Zakaria berkata, pemilik premis pada masa sama perlu bertindak tegas bagi menghalang perbuatan tersebut.
Katanya, pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) PKP tersebut membolehkan kedua-dua pihak itu dikenakan kompaun.
“Kalau katakan mereka itu satu keluarga sekali pun, pada masa ini kita cuma benarkan dua orang dalam satu kenderaan, jadi tidak ada isu kononnya mereka datang makan di kedai bersama keluarga.
“Adalah jelas kalau lebih dua orang semeja, itu sudah melanggar SOP,” katanya pada sidang akhbar selepas melaksanakan operasi pemantauan pematuhan SOP PKP di premis-premis berhampiran Pekan Rabu di sini hari ini.
Sementara itu, katanya, pemantauan dijalankan mendapati kebanyakan premis mengabaikan SOP untuk meletakkan petugas bagi membuat saringan kemasukan pelanggan sebelum dibenarkan masuk.
“Perlu ada ada petugas untuk pantau suhu serta pastikan pelanggan mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera tetapi pemantauan mendapati banyak premis mengabaikan perkara itu.
“Antara alasan diberikan adalah mereka tidak maklum akan SOP yang dikuatkuasakan itu yang mana ini antara perkara yang kita tekankan dan pemilik premis boleh dikompaun jika masih ingkar,” ujarnya.
Beliau turut mendedahkan masih ada dalam kalangan pemilik premis yang tidak meletakkan kod QR di premis masing-masing.
“Itu kita tidak boleh nak terima sedangkan perkara ini telah setahun kita laksanakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE