Pekerja asing disaring positif turun kepada 27 individu

Pekerja asing disaring positif turun kepada 27 individu

BILANGAN pekerja warga asing yang disahkan positif di seluruh negara semalam terus turun untuk hari kedua berturut-turut. - FOTO/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bilangan pekerja warga asing yang disahkan positif setelah menjalani saringan wajib Covid-19 di seluruh negara semalam terus turun untuk hari kedua berturut-turut.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Sumber Manusia semalam mendapati 27 orang direkodkan berbanding 37 individu pada kelmarin.

“Pihak kementerian itu memaklumkan sejumlah 12,763 pekerja warga asing sudah menjalani saringan wajib tersebut di seluruh negara semalam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Secara kumulatif ujarnya lagi, sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 412,925 individu telah pun selesai melakukan ujian mandatori itu yang melibatkan penyertaan sejumlah 19,721 majikan.

Daripada jumlah tersebut ujarnya, cuma 7,580 pekerja warga asing yang disahkan positif wabak maut berkenaan, manakala selebihnya iaitu seramai 405,345 orang lagi adalah negatif.

Sebanyak 1,449 klinik terlibat dalam program khas itu selaras arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.

Mulai 1 Februari lalu, ujian dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu turut meliputi seluruh negara berbanding empat negeri dan dua Wilayah Persekutuan sebelumnya.

Keperluan saringan ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.

Kementerian itu menyasarkan lebih 500,000 pekerja asing akan disaring menjelang tempoh akhir yang ditetapkan pada 28 Februari ini kepada semua majikan berdaftar di seluruh negara.

Majikan turut diberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak akan diperbaharui Jabatan Imigresen.

Proses saringan tersebut, hanya menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dengan kos kit ujian tersebut dibiayai sepenuhnya pihak Perkeso. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya