PUTRAJAYA: Bilangan pekerja warga asing yang disahkan positif setelah menjalani saringan wajib Covid-19 di seluruh negara semalam naik mendadak untuk dua hari berturut-turut.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Sumber Manusia semalam mendapati 37 orang direkodkan berbanding hanya 11 orang kelmarin.
“Pihak kementerian itu memaklumkan sejumlah 8,983 pekerja warga asing sudah menjalani saringan wajib tersebut di seluruh negara semalam,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Secara kumulatif ujarnya lagi, sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 387,040 individu telah selesai melakukan ujian mandatori itu yang melibatkan penyertaan sejumlah 17,731 majikan.
Daripada jumlah tersebut ujarnya, cuma 7,365 pekerja warga asing yang disahkan positif wabak maut berkenaan, manakala selebihnya iaitu seramai 379,675 orang lagi adalah negatif.
Sebanyak 1,403 klinik terlibat dalam program khas itu selaras arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.
Mulai 1 Februari lalu, ujian dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu turut meliputi seluruh negara berbanding empat negeri dan dua Wilayah Persekutuan sebelumnya.
Keperluan saringan ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.
Kementerian itu menyasarkan lebih 500,000 pekerja asing akan disaring menjelang tempoh akhir yang ditetapkan pada 28 Februari ini kepada semua majikan berdaftar di seluruh negara.
Majikan turut diberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak akan diperbaharui Jabatan Imigresen.
Proses saringan tersebut, hanya menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dengan kos kit ujian tersebut dibiayai sepenuhnya pihak Perkeso.
Dalam pada itu ujarnya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan turut membuat pemeriksaan 42 tapak binaan seluruh negara semalam dengan hanya enam tidak beroperasi.
“Sementara selebihnya itu didapati mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan dan sejak 20 April tahun lalu, sejumlah 8,699 tapak binaan telah pun diperiksa,” katanya lagi. – UTUSAN