KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan harus lebih berhati-hati menggunakan frasa supaya penggunaan bahasa Melayu tidak menjadi janggal.
Menurut bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Rais Yatim, kegagalan berbuat demikian boleh ‘membunuh’ bahasa itu sendiri.
Beliau membidas kementerian itu yang dilihatnya gagal menggunakan frasa tepat bahasa Melayu untuk TV Pendidikan.
“Nak tanya pada KPM, bolehkah guna frasa DIDIK TV yang dahulunya adalah Tv Pendidikan. Kalau begitu, tukar saja Kementerian Pendidikan kepada Didik Kementerian.
“Tentunya sesuatu yang janggal dan salah di sisi nahu asas bahasa Melayu. Perihal ini, seperti kepilan di bawah membunuh bahasa,” katanya dalam satu ciapan di laman Twitter peribadi beliau.
Rais juga menggunakan sekeping gambar tangkap layar satu artikel yang mana artikel tersebut mempersoal tahap kebolehan rakyat Malaysia berbahasa Inggeris kerana gagal mengeja ‘meet and greet’ dengan betul. – UTUSAN ONLINE