PETALING JAYA: Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said bersuara mengenai kekeliruan dengan tindakan kerajaan menggantung persidangan parlimen yang mana Peguam Negara (AG), Tan Sri Idrus Harun sepatutnya bertindak untuk mempertimbangkan semula keputusan tersebut.
Dalam sepucuk surat yang ditulis Azalina kepada AG, beliau mempersoalkan sebab utama parlimen digantung sedangkan masih ada beberapa jalan penyelesaian yang boleh dilakukan bagi memastikan persidangan parlimen dapat diteruskan.
“Saya sebagai ahli parlimen yang telah berkhidmat 17 tahun tidak faham bagaimana dan mengapa kita tidak mampu ataupun menolak untuk mengadakan sidang parlimen seperti negara-negara luar yang mengambil inisiatif untuk mengurangkan jumlah kedatangan ahli parlimen, prosiding melalui bilik penyiaran dan suaikan masa persidangkan secara lebih fleksibel.
“Kerajaan telah mengambil langkah drastik dengan menggantung persidangan parlimen sedangkan masih berpeluang untuk menambah baik persidangan parlimen supaya dapat diteruskan,” katanya dalam surat tersebut.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mengisytiharkan Darurat bermula 11 Januari lalu dan proklamasi itu sekali gus telah menyebabkan persidangan Parlimen digantung sehingga tamat tempoh Darurat yang dikatakan akan berakhir pada 1 Ogos tahun ini.
Walaupun begitu, ramai pemimpin mempersoal keperluan menggantung persidangan Parlimen sedangkan kebanyakan sektor ekonomi yang lain tetap diteruskan.
Ada juga pendapat yang mengatakan penggantungan Parlimen dilakukan kerana kerajaan ketika ini tidak lagi mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan selepas beberapa pemimpin UMNO mengumumkan mereka menarik sokongan terhadap PN.
Dalam surat tersebut juga, Azalina berkata kuasa AG tidak harus mempunyai campur tangan pihak lain yang boleh membuatkan kuasa tersebut menjadi berat sebelah dan tidak telus.
“Harus saya ingatkan bahawa Laporan Suruhanjaya Reid pada tahun 1957 membayangkan AG untuk menjadi indivdu yang memberikan ‘nasihat undang-undang bebas’ kepada kerajaan tanpa rasa takut dan pilih kasih dan tidak ada perdebatan bahawa fungsi profesional yang dia laksanakan adalah tidak berat sebelah, objektif dan autonomi.
“Memandangkan AG dianggap bertindak sebagai pendakwa raya maka AG adalah kebal untuk pendakwaan ketika menggunakan budi bicara untuk menghentikan prosiding jenayah. Oleh itu, individu yang wajar diharapkan untuk meneruskan atau menghentikan persidangan parlimen adalah dibawah kuasa AG yang sepatutnya bertindak tanpa adanya berat sebelah,” katanya.
Ahli Parlimen Pengerang itu juga mengingatkan AG mengenai keperluan menteri untuk mentadbir negara termasuk menghadiri persidangan parlimen bagi sesi diskusi
“Saya menekankan bahawa tanggungjawab menteri adalah penting bagi sistem parlimen kerana memastikan kebolehan dan tanggungjawab kerajaan kepada badan perundangan negara dan paling utama kepada kepada pemilih secara keseluruhan.
“Penggantungan Parlimen menunjukkan tiada lagi keperluan menegakkan tanggungjawab menteri terhadap barisan kabinet. Lazimnya, tanggungjawab ahli Parlimen termasuk menteri dapat dilaksanakan dalam sesi Parlimen contohnya Waktu Pertanyaan Dewan Khas dan Menteri tetapi perkara ini tidak dapat dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN