PETALING JAYA : Satu arahan telah dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap semua Ketua Polis Negeri bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) secara menyeluruh dalam aspek keselamatan vaksin Covid-19 yang dijangka tiba di Malaysia, pada 21 Februari ini.
Memberitahu Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya akan memberi tumpuan kepada sistem pergerakan, pemindahan dan penyimpanan vaksin berkenaan bagi mengelak kejadian tidak diingini.
“Jumlah anggota polis yang dikerahkan bagi menjaga keselamatan vaksin itu bergantung kepada keadaan dan keperluan semasa.
“Dalam hal ini, kita bukan sahaja bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) malah dengan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) jika diperlukan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata polis dan ATM akan menjaga keselamatan vaksin COVID-19 Pfizer dari mula ia tiba ke negara ini sehingga waktu suntikan.
Khairy dipetik berkata, sebanyak 312,390 dos vaksin Pfizer fasa pertama dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 21 Februari ini sebelum disusun dan diedarkan ke pelbagai tempat penyimpanan vaksin seluruh negara. – UTUSAN