PETALING JAYA: Kerajaan harus pantau media yang mengeluarkan berita tidak tepat bagi mengelak penyebaran maklumat tidak sahih kepada masyarakat.
Dalam satu kenyataan media, Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, penyebaran berita yang tidak tepat terutama tanpa sumber yang menyakinkan adalah satu kesalahan.
“Saya ingin mengingatkan bahawa penyebaran berita palsu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Diharap kerajaan tidak bersikap berat sebelah di dalam pemantauan berkenaan isu ini,” katanya dalam kenyataan itu semalam.
Farhash Wafa Salvador mengeluarkan kenyataan tersebut berikutan laporan satu portal tempatan didakwa memutar belit maklumat mengenai isu timbalan Pengerusi PKR Perak, M. A Tinagaran dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) semalam.
Katanya, tiada aset atau wang tunai berjumlah berjuta ringgit yang telah dirampas milik Tinagaran. Sebaliknya wang sejumlah RM17,000 dalam jumlah kecil telah diambil untuk siasatan.
Manakala, kereta yang disita bukanlah miliknya tetapi oleh seorang kenalan yang menumpang tempat.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa sedihnya apabila beberapa portal lain juga sekadar memetik sumber untuk mensasikan laporan tanpa membuat usul periksa secara lanjut.
“Media harus lebih cermat kerana siasatan masih dijalankan dan semoga proses perundangan berjalan secara lancar tanpa prejudis.
“Sebelum ini semua pihak disarankan agar tidak membuat andaian, namun sikap tidak bertanggungjawab seorang wartawan di sebuah portal telah memberikan gambaran negatif dengan memutar belitkan fakta secara prejudis,” katanya. – UTUSAN