MELAKA: Seorang pembantu jurutera dan rakan sekerjanya sesak nafas selepas panel penyongsang solar di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh di sini terbakar, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia 30 tahun dan 34 tahun itu dikejarkan ke Hospital Melaka menaiki van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkhairani Ramli berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 11.21 pagi dan seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil dikejarkan ke lokasi.
Beliau berkata, turut sama memberikan bantuan adalah 11 anggota dari BBP Ayer Keroh dan penguatkuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Apabila tiba di tempat kejadian, kita dapati panel penyongsang solar di sebuah bilik kilang terbakar.
“Dua orang mangsa iaitu seorang pembantu jurutera berusia 30 tahun dan juruteknik elektrik 34 tahun yang berada di lokasi mengalami sesak nafas dan dikejarkan ke hospital menggunakan EMRS untuk mendapatkan rawatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kebakaran dikawal sepenuhnya pada pukul 11.39 pagi.
“Punca kebakaran bagaimanapun masih lagi dalam siasatan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE