HULU TERENGGANU: Kehilangan seorang warga emas di Kampung Gaung Hangus, Tok Dor, Ajil di sini sejak Rabu lalu terjawab apabila dia ditemukan selamat, malam tadi.
Lijah Embong, 81, dijumpai dalam keadaan lemah berhampiran sungai di kawasan ladang kelapa sawit yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya oleh sekumpulan orang awam kira-kira pukul 9.50 malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Hanaffi Mohd. berkata, pihaknya bergegas ke lokasi mangsa ditemukan sebaik sahaja menerima maklumat itu.
“Mangsa dijumpai duduk di kawasan itu dan keadaannya lemah akibat tiada tenaga.
“Terdahulu, orang awam yang mencari lembu petang semalam turut menjumpai selipar dan kain batik dipercayai milik mangsa tidak berapa jauh dari lokasi penemuan warga emas itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Hanafi, Lijah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut dengan menaiki jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Kehilangan warga emas yang tinggal bersendirian itu disedari anaknya yang datang menjenguk mangsa pada hari sama.
Lijah dikatakan mempunyai tabiat gemar berjalan-jalan di sekitar kampung, namun, lazimnya balik ke rumah menjelang petang. – UTUSAN ONLINE