PORT DICKSON: Nelayan di sini menyuarakan bantahan terhadap pembangunan projek Kemudahan Import Marin 2 (MIF2) di perairan Port Dickson yang dipercayai dimulakan sejak sebulan lalu.
Bantahan tersebut atas alasan projek berkenaan dilihat menjejaskan pendapatan nelayan kerana didakwa menyebabkan kawasan aktiviti perikanan menjadi semakin sempit dan kecil.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Port Dickson, Mohd. Zulkifli Mohd. Taib berkata, perbincangan telah diadakan dengan pihak berkaitan berhubung hal tersebut termasuk berkaitan pampasan terhadap nelayan namun tiada keputusan positif.
“Projek ini akan menyebabkan kawasan penangkapan ikan terganggu termasuk peralatan menjaring ikan tersangkut dan dilanggar kapal yang melalui kawasan terbabit. Kami akan mengalami kerugian yang tinggi, lebih-lebih lagi perairan Port Dickson ini kawasan yang sempit. Kesan daripada kemusnahan itu merosakkan struktur dasar laut.
“Kami bergantung sepenuhnya kepada sumber laut dan tentunya punca pendapatan terjejas kerana sumber tangkapan terancam. Pemasangan paip-paip di dasar laut merosakkan struktur dasar laut, proses berkenaan juga menyebabkan sisa toksik dan gas ammonia keluar dari dasar laut yang mendap,” katanya.
Dia berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum Persatuan Nelayan Port Dickson ke atas projek MIF2 di Taman Mikamas dekat sini, hari ini.
Mohd. Zulkifli memberitahu, baru-baru ini pihaknya dimaklumkan tentang tiada sebarang pampasan atau imbuhan ganti rugi daripada pihak berkaitan kepada nelayan berikutan pelaksanaan projek berkenaan.
“Dua minggu lalu, persatuan ada dimaklumkan secara bersemuka bahawa pihak berkaitan tidak dapat membayar pampasan kepada nelayan sebaliknya hanya mampu menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti membantu nelayan dan mengecat bangunan.
“Nilai pampasan yang kami minta adalah sebanyak RM6.5 juta, ia tidak begitu banyak kerana lokasi projek tersebut boleh menjejaskan pendapatan nelayan selama-lamanya. Kami harapkan jika mahu diteruskan projek ini perlu ada situasi menang-menang antara kedua-dua belah pihak,” katanya yang memberitahu seramai 362 ahli Persatuan Nelayan Kawasan Port Dickson dijangka terjejas dengan projek berkenaan.
Dalam pada itu, dia memaklumkan, pihaknya ada mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri berkenaan isu tersebut namun belum ada apa-apa perkembangan
“Pihak persatuan juga telah memaklumkan kepada Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan masih menunggu maklum balas. Kami sedang menunggu mesyuarat kali kedua nanti bersama kerajaan negeri bagi mengetahui keputusan berkenaan projek ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE