KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, nama ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low tidak ditemui pada minit mesyuarat Kabinet ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet), Tan Sri Mazidah Abdul Majid menyatakan perkara tersebut ketika sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib dalam kes perbicaraan 1MDB bekas Perdana Menteri itu.
Memetik laporan Bernama, saksi pendakwaan ke-11 itu menyatakan demikian ketika diminta menyemak minit mesyuarat untuk melihat sama ada nama Jho Low pernah disebut dalam dokumen berkenaan.
Ahmad Akram: Berdasarkan kepada kesemua dokumen yang ada, adakah Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, pernah disebut dalam dokumen ini?
Mazidah: Tidak.
Ahmad Akram: Adakah Najib pernah sebut kepada Kabinet yang Jho Low telah membantu untuk mendapatkan sumbangan daripada seorang putera Saudi kepada Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?
Mazidah: Saya tidak ingat, tetapi jika Najib ada sebut nama Jho Low, ia tentunya akan ada dalam minit mesyuarat. Bagaimanapun nama Jho Low tidak ada dalam minit mesyuarat.
Sementara itu ketika sesi soal balas oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, saksi berusia 72 tahun itu berkata, beliau hanya mendengar nama Jho Low apabila isu 1MDB timbul.
Muhammad Shafee: Anda pernah dengar nama Jho Low sebelum ini?
Mazidah: Ia satu nama sebutan ramai.
Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 billion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram pada jumlah wang yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin. – UTUSAN ONLINE