PETALING JAYA: 500,000 peluang pekerjaan antara fokus utama yang disebut dalam majlis pelancaran MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.
Dalam majlis tersebut, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata MyDIGITAL menetapkan gabungan inisiatif dan sasaran merentasi tiga fasa pelaksanaan hingga 2030.
“Pelan ini menyasarkan untuk membuka 500,000 peluang pekerjaan dalam ekonomi digital selain ekonomi digital ini dijangka akan menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
“Sementara itu, kerajaan juga akan menggalakkan sebanyak 875,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana menerima guna e-dagang serta di bawah naungan MyDIGITAL ini juga dapat memangkinkan 5,000 syarikat peringkat permulaan dalam masa lima tahun akan datang,” katanya.
Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Mustapa Mohamed; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Dalam majlis pelancaran itu juga, Perdana Menteri berkata, Malaysia berhasrat untuk menjadi salah satu negara pertama di rantau ini yang membina ekosistem 5G menggunakan internet dan -perkhidmatan awan dalam masa- sebenar atau real-time, untuk membolehkan maklumat dikongsi serta-merta.
“Bayangkanlah, teknologi 5G ini merupakan gamechanger, kerana akan wujud lebih banyak perkhidmatan pintar yang membawa kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat. Hal ini kerana 5G bukan sahaja sekadar menjanjikan capaian internet yang lebih laju.
“Tetapi lebih penting dari itu, ia memungkinkan pelbagai aplikasi penting berada dalam genggaman pengguna, termasuk aplikasi pemantauan kesihatan bagi pesakit kronik, bantuan kecemasan pintar dan aplikasi khas bagi warga emas yang tinggal bersendirian,” katanya. – UTUSAN ONLINE