Murtad: Suspek dipercayai berada di luar negara - Utusan Malaysia

Murtad: Suspek dipercayai berada di luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lelaki dalam video yang didakwa mengaku memurtadkan wanita Islam dipercayai berada di luar negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber mendedahkan, lelaki berusia 29 tahun dan pasangannya itu dipercayai tidak lagi menetap di negara ini.

Kata sumber, maklumat itu diperoleh hasil keterangan daripada ahli keluarga lelaki berkenaan ketika serbuan dijalankan polis.

“Suspek dipercayai sudah tidak berhubung dengan ahli keluarganya sejak tiga tahun lalu. Bagaimanapun, lokasi sebenar keberadaan lelaki itu tidak dapat dipastikan,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi berkata, siasatan terperinci mengenai kes tersebut sedang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

“Polis sedang menyiasat kes ini, kita akan maklumkan jika ada sebarang perkembangan,” ujarnya.

Sabtu lalu, tular video berdurasi 3 minit dan 26 saat menunjukkan seorang lelaki yang mengaku memurtadkan seorang perempuan lslam di media sosial.

Susulan itu, media melaporkan, satu serbuan dijalankan Polis Johor di sebuah rumah di Perjiranan Dato Onn, Johor Bahru, Johor kira-kira pukul 9.50 malam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menyerbu premis itu kerana mengesyaki lelaki terbabit berada di rumah berkenaan.

“Suspek yang berusia lingkungan 29 tahun itu sudah dikenal pasti namun tiada di premis berkenaan. Tiada sebarang tangkapan dan rampasan dibuat,” katanya.

Dalam pada itu, wanita didakwa isteri lelaki berkenaan membuat permohonan maaf mengenai isu tersebut dalam video berdurasi 3 minit 30 saat.

Wanita yang mengaku warga Indonesia dan meninggalkan agama Islam untuk berkahwin dengan suaminya bukan Islam.

Dakwanya, dia dimurtadkan atau keluar daripada Islam di negara asalnya iaitu Indonesia. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya