PETALING JAYA: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menyifatkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) mampu menjadi aset baharu negara dalam usaha untuk Malaysia kekal kompetitif dalam pasaran ekonomi digital di rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, MyDIGITAL bersandarkan tiga teras strategik MDEC iaitu rakyat Malaysia berkemahiran digital, perniagaan dipacu secara digital dan menarik pelaburan digital bagi mencapai masyarakat terintegrasi teknologi selaras Malaysia 5.0 dan mengukuhkan kedudukan sebagai Nadi Digital ASEAN.
“MyDIGITAL diyakini memperkukuh asas serta pembangunan infrastruktur digital negara memandangkan pertumbuhan ekonomi digital bergantung kepada data, inisiatif untuk wujudkan pusat data berskala hiper dengan jangkaan pelaburan mencecah RM15 bilion akan meningkatkan ruang inovasi dan perkongsian kerjasama awam dan swasta.
“Kesemua komponen yang diumumkan dalam MyDIGITAL diyakini mampu menjadi aset baharu negara ke arah transformasi ekonomi digital sekaligus mewujudkan pelbagai peluang baharu termasuk pelaburan digital dan pelengkap kepada dasar pembangunan negara seperti Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Ini membuktikan kesediaan Malaysia melakukan transformasi dengan pendekatan ‘Whole of Nation’,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, Surina menyambut baik kebenaran bersyarat yang diberikan kerajaan kepada empat syarikat terkemuka iaitu Microsoft, Google, Amazon dan Telekom Malaysia untuk membina dan menguruskan pusat data berskala besar dan perkhidmatan cloud.
Katanya, Projek Jalinan Digital Negara (Jendela) diperkenalkan untuk memantapkan kesalinghubungan sedia ada dengan sasaran sembilan juta premis menjelang hujung 2025 akan menjadikan negara bersedia ke teknologi selular generasi kelima atau 5G dalam masa terdekat.
“Komponen 5G akan memacu pelaburan dalam inovasi baharu menerusi kepantasan yang memungkinkan pemindahan teknologi sekaligus mencipta lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan menjadikan Malaysia salah satu pasaran paling kompetitif di dunia,” katanya.
Selain itu, katanya, MyDIGITAL juga memberi tumpuan penting kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan usahawan mikro untuk beralih ke arah e-dagang yang selama ini menjadi inisiatif penting dilaksanakan MDEC.
Malah, beliau berpendapat sokongan berterusan kerajaan kepada ekosistem syarikat pemula (startup) turut diberi fokus perhatian menerusi jangkaan mampu untuk menarik pelaburan baharu sebanyak RM70 bilion dari dalam dan luar negara.
“Ketika ini sebanyak 335 834 PKS dan mikro telah memasuki pasaran e-dagang berdasarkan rekod MDEC. Berdasarkan sasaran MyDIGITAL pula, sejumlah 875 000 perniagaan kategori berkenaan akan turut berbuat demikian.
“Ketika ini, ekosistem syarikat pemula di Malaysia berada di tempat ke-11 dunia dengan mendapat skor tertinggi dari segi prestasi dan nilai pasaran manakala nilainya mencecah AS$15 bilion dolar. Sehubungan itu, MDEC bersedia melakukan lonjakan digital untuk mencapai hasil yang lebih baik kepada negara dan rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE