ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah merampas 34 set bubu naga di kawasan perairan Tanjung Jaga, Yan, dekat sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pihaknya mengesan dan merampas bubu naga tersebut berukuran kira-kira 10 meter panjang yang dipasang di beberapa lokasi di perairan tersebut ketika anggotanya melakukan rondaan pada pukul 5 petang.
Katanya, kesemua bubu tersebut yang dianggarkan bernilai RM4,080 dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat.
Katanya, kes tersebut disiasat Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.
“Penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, sepanjang tahun lepas hingga semalam, Zon Maritim Kuala Kedah merampas sebanyak 1,088 unit peralatan bubu naga dengan nilai rampasan dianggarkan kira-kira RM111,940.
“Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang diperuntukan.
“Maritim Malaysia tida berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara,” tegas beliau.
Tambahnya, Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan dan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579. – UTUSAN ONLINE