Mangsa tebing runtuh terkejut dihadiah kereta - Utusan Malaysia

Mangsa tebing runtuh terkejut dihadiah kereta

AHMAD Fadhli Shaari (kiri) berbual-bual sambil menyerahkan sumbangan kereta kepada Nur Ain mangsa runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Chelagi, Pasir Mas baru-baru ini. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Nur Ain Ramli sebelum ini sugul mengenangkan rumah dan kereta Perodua Myvi miliknya yang musnah dalam kejadian tebing runtuh di Kampung Pohon Chelagi di sini Rabu lalu.

Namun, hari ini, mata wanita berusia 32 tahun itu berkaca dengan tangisan gembira selepas diberi kejutan istimewa menerima sumbangan sebuah kereta terpakai dari Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pasir Mas.

Kereta Proton Saga bagi memudahkan pergerakan harian Nur Ain, suami dan  anak mereka berusia tujuh tahun diserahkan  Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari di pusat khidmat tersebut pagi ini.

Nor Ain Ramli berkata, sumbangan tersebut ibarat anugerah bernilai bagi keluarganya selepas kehilangan tempat berteduh dan kenderaan sekali gus.

“Alhamdulillah, saya bersyukur terima bantuan ini. Terima kasih kepada Ahli Parlimen Pasir Mas dan semua pihak yang prihatin terhadap nasib kami.

“Dalam tempoh seminggu ini, kami sekeluarga menunggang motosikal untuk urusan harian. Jika ada urusan penting atau jauh kami akan meminjam kereta saudara,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian runtuhan tebing Sungai Kelantan berhampiran Kampung Pohon Chelagi awal pagi Rabu lalu, rumah dan kereta Perodua Myvi Nur Ain turut menjadi ‘mangsa’ terhumban ke bawah cerun.

Susulan pergerakan tanah beberapa kali lagi  tiga rumah lain turut ranap.

Sementara itu, Ahmad Fadhli berkata, pihaknya difahamkan, Nur Ain masih perlu membayar ansuran bulanan kereta yang berbaki empat tahun kerana kejadian tebing runtuh tidak termasuk dalam perlindungan insurans.

“Sumbangan kereta terpakai oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pasir Mas ini bertujuan membantu meringankan beban keluarga Nur Ain,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya