Vaksin beri manfaat jangka panjang kepada negara 

Vaksin beri manfaat jangka panjang kepada negara 

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelaksanaan vaksin Covid-19 akan memberi manfaat jangka panjang kepada negara ini dalam usaha mengembalikan semula kegiatan ekonomi yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat. 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada satu peringkat, rakyat akan memahami keperluan vaksin ketika kebanyakan negara lain melaksanakan vaksinasi bagi menangani wabak Covid-19.

Justeru, kata beliau, dalam usaha untuk mengembalikan keadaan seperti sedia kala, kerajaan perlu memastikan rakyat mendapatkan vaksin yang diberikan percuma sebagaimana diumumkan. 

“Jadi dalam jangka masa panjang ia akan memberi manfaat jika divaksinasi. Mungkin pada masa depan, dari sudut pelancongan, jika sesebuah negara pada satu peringkat menuntut setiap orang divaksin, mereka meletakkan satu bentuk pasport dan perlu membuktikan seseorang itu divaksin jika mahu ke luar negara.

“Jika mana-mana individu tidak divaksin, mereka berkemungkinan dilarang untuk bergerak ke mana-mana, dan ini tidak akan memberikan manfaat kepada seseorang.

“Berkemungkinan juga pengusaha premis dan restoran akan meletakkan peraturan sebagai satu bentuk keprihatinan bahawa hanya mereka yang divaksin sahaja dibenarkan masuk atau dibenarkan menjalankan perniagaan dengan pihak-pihak tertentu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan  laman web www.VaksinCovid.gov.my, di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Dalam hal itu, Perdana Menteri berkata, adalah penting pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjalan lancar dan memastikan semua rakyat sama ada warganegara atau bukan warganera dalam negara ini mendapatkan vaksin. 

Kata beliau, banyak program kesedaran berhubung keperluan vaksin telah disebarkan kepada kebanyakan kumpulan masyarakat dan penduduk agar mereka sedar kesan vaksinasi dalam jangka masa panjang. 

Beliau menjelaskan, walaupun terdapat 34 peratus dalam kalangan responden kajian tidak pasti sama ada mahu menerima atau menolak vaksin, namun peratusan penerimaan adalah lebih tinggi. 

“Bagaimanapun, kita telah membuat keputusan suntikan vaksin ini tidak wajib, ia adalah sukarela. Saya fikir kebanyakan negara juga membuat keputusan sama. 

“Namun, peranan media juga penting untuk menyebarkan maklumat vaksin ini adalah selamat sebagaimana kita sudah lihat di kebanyakan negara. 

“Dengan strategi media dan penyebaran luas bahan kempen mengenai vaksin Covid-19, saya percaya peratusan penerimaan vaksin tidak akan lebih rendah dan rakyat sedar tentang kepentingan vaksin dalam menangani wabak ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya