PUTRAJAYA: Malaysia dan Arab Saudi menubuhkan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi sebagai mekanisme dua hala yang menyeluruh di peringkat Menteri Luar Negeri.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penubuhan jawatan kuasa itu berupaya membuka lebih banyak jalan usaha sama berhubung pelbagai isu yang menjadi kepentingan bersama.
Katanya, antara usaha sama itu adalah membabitkan keselamatan politik serantau dan antarabangsa, pemulihan ekonomi pasca Covid-19, haji dan umrah, keselamatan makanan serta perdagangan minyak sawit.
“Keputusan penubuhan itu dibuat semalam dalam pertemuan saya dengan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud yang mana kami menzahirkan kegembiraan berhubung situasi hubungan dua hala antara Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi yang semakin kukuh serta menegaskan komitmen teguh untuk meningkatkan usaha sama dua hala sedia ada ke peringkat strategik.
“Kami juga bersetuju memupuk kerjasama lebih erat dalam bidang perdagangan dan pelaburan termasuk berkaitan teknologi dan Inovasi selepas melihat kepentingan untuk membina pelan pemulihan ekonomi yang kuat dan berdaya tahan susulan pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hishammuddin berkata, beliau juga mengadakan pertemuan yang produktif dengan Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz Salman Abdulaziz.
“Kami juga membincangkan kerjasama dua hala untuk mengekalkan kestabilan pasaran minyak serta kaedah meningkatkan peluang pelaburan antara kedua-dua negara.
“Malah selain pertemuan dengan Menteri Luar Negeri dan Menteri Tenaga, terdapat beberapa lagi pertemuan dengan kepimpinan tertinggi Kerajaan Diraja Arab Saudi,” katanya.
Tambahnya, lawatan kerja kali ini menyumbang kepada usaha mengeratkan lagi hubungan persaudaraan antara kedua-dua negara.
“Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi terus menikmati hubungan persaudaraan yang erat dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, pengajian tinggi dan urusan Haji.
“Pada tahun 2020, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi mencatatkan jumlah USD4.83 bilion (RM20.27 bilion) dan Arab Saudi adalah rakan dagang kedua terbesar di Malaysia di Timur Tengah,” katanya. – UTUSAN ONLINE