Makanan halal menu makan besar pasangan warga emas - Utusan Malaysia

Makanan halal menu makan besar pasangan warga emas

GAN Eh Chang dan isterinya Tan Siew Tuan memilih juadah masakan ala kampung sebagai menu makan besar perayaan Tahun Baru Cina di Kampung Cina, Che Pa, Kota Bharu, malam ini. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ketam nipah kukus dan pulut durian menjadi pilihan pasangan warga emas Tionghua dari Kampung Cina Che Pa, di sini, ketika menikmati makan besar sempena Tahun Baharu Cina malam ini.

Dua hidangan tersebut merupakan kegemaran anak-anak dan cucu kepada Gan Eh Chang, 78, dan isteri
Tan Siew Tuan, 76 yang tidak dapat pulang beraya pada tahun ini.

Eh Chang berkata, selain ketam dan pulut durian yang menggunakan santan kelapa dikukur sendiri di rumah, isterinya turut memasak sup siput laut abalone, ayam kukus serta udang dan ikan goreng kunyit.

“Kami Cina peranakan di Kelantan lebih gemar menikmati makanan ala kampung yang halal ketika makan besar,” katanya ketika ditemui di rumahnya malam ini.

Eh Chang berkata, sambutan Tahun Baharu Cina kali ini suram berbanding sebelumnya kerana anak cucu yang tinggal di Johor dan Terengganu terpaksa patuh pada larangan merentas negeri ketika ini.

“Kami reda dengan keadaan ini dan faham tujuan kerajaan yang berusaha mengekang penularan virus Covid-19.

“Isteri saya sediakan juadah yang digemari anak dan cucu sebelum kami berhubung menerusi panggilan video untuk mengubati rindu yang terbuku,” katanya

Eh Chang turut memberitahu dia dan isterinya mengadakan sembahyang di luar rumah untuk mendoakan kesejahteraan anak cucu selain memohon ancaman virus Covid-19 segera berakhir. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya