KANGAR: Setiap tahun, saat paling dinantikan pasangan warga emas Tan Cheng Hock, 70, dan Low Lan Yin, 70, adalah kepulangan anak serta menantu untuk meraikan sambutan Tahun Baharu Cina.
Berbeza tahun ini, pasangan dari Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis itu hanya meraikan sambutan itu esok dalam keadaan sederhana selepas tiga anaknya tidak dapat pulang ke kampung berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tiga anak pasangan warga emas berusia 38 tahun hingga 40 tahun itu bekerja di Pulau Pinang dan Singapura.
“Sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini nampaknya tidak semeriah seperti sebelum ini selepas anak-anak tidak dapat pulang ke kampung halaman.
“Makan besar nampaknya kami berdua sahaja, serba ringkas dan sederhana. Biasanya waktu makan besar penuh makanan di meja bersama anak-anak. Malah, persiapan juga secara sederhana,” kata Cheng Hock yang juga pengusaha kedai runcit di sini semalam.
Menurut Cheng Hock, kali terakhir dia dan isterinya berjumpa anak-anak pada sambutan Tahun Baharu Cina tahun lalu yang mana ketika itu semuanya pulang ke kampung.
Katanya, perasaan rindu terhadap anak-anak cukup menebal namun dalam suasana pandemik Covid-19 ketika ini dia dan sesiapa sahaja perlu berkorban dalam usaha mencegah penularan wabak itu.
“Sedih memang sedih bila sambutan hari raya tanpa anak-anak di sisi. Hampir setahun tidak jumpa mereka dan kebetulan Tahun Baharu Cina tahun ini, PKP kembali dilaksanakan, sekali gus perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan,” katanya.
Sementara itu, pasangan warga emas itu cukup berharap agar pandemik Covid-19 di negara ini segera berlalu agar seluruh rakyat dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
“Malah, bukan kami sahaja tidak dapat beraya dengan anak tetapi ramai lagi menghadapi situasi sama. Dalam tempoh ini, kita semua perlu berkorban dan saya percaya pandemik ini akan berakhir selepas ini,” katanya. – UTUSAN