GEORGETOWN: Sekumpulan 20 kaki judi memberi alasan bosan duduk di rumah dalam tempoh lama berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Januari lalu dan bertemu rakan-rakan untuk menghilangkan tekanan.
Mereka yang terdiri daripada seramai 15 lelaki dan lima wanita berusia antara 50 hingga 70-an itu diberkas ketika leka berjudi di sebuah rumah di Ayer Itam, di sini kira-kira pukul 1 pagi ini.
Kesemua mereka ditahan dalam Op Limau yang dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi & Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri.
Ketika serbuan, mereka sedang leka bermain judi di meja yang disediakan di dalam kediaman yang disewa khusus untuk bermain berjudi.
Sumber berkata, serbuan dijalankan hasil risikan dan maklumat orang awam berhubung kegiatan dijalankan mereka.
“Hasil serbuan, kita merampas peralatan judi, meja dan kerusi serta wang tunai dianggarkan berjumlah RM1,500.
“Kesemua mereka didapati melakukan kesalahan ingkar PKP dan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Timur laut (IPD TL) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Sek.4(1) ARJT 1953 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan tangkapan tersebut.
Menurut beliau, pihaknya mengambil tindakan secara berterusan terhadap pelbagai kegiatan haram yang dijalankan di negeri ini terutama sepanjang PKP bagi tujuan membendung penularan wabak Covid-19. – UTUSAN ONLINE