PETALING JAYA: Anak-anak golongan petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diberikan langganan MAHIR Tutor secara percuma.
Pengasas PlanetMahir, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir berkata, Kelas Digital MAHIR Tutor adalah kelas tuisyen digital’ video-on-demand’ oleh Planetmahir khas untuk calon SPM.
“Ini adalah sebagai sumbangan kami kepada mereka yang sedang bertungkus lumus berjuang, tanpa mengenal erti penat dan lelah untuk memastikan kita terpelihara daripada wabak virus yang merbahaya ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MAHIR Tutor kini mempunyai lebih 20,000 pelajar di seluruh negara.
Semua kelas pembelajaran subjek-subjek ini dirakam bagi membolehkan pelajar mengikuti sebarang tajuk pembelajaran di mana sahaja dan pada bila-bila masa.
Ahmad Ramzi berkata, ia adalah inisiatif mereka untuk memberikan sokongan sekali gus menghargai jasa pekerja barisan hadapan.
“Semoga sumbangan yang tidak seberapa ini dapat membantu anak-anak pekerja barisan hadapan kita membuat ulangkaji pembelajaran dan membuat persiapan secukupnya bagi menghadapi peperiksaan SPM nanti.
“Anak-anak pekerja barisan hadapan bolehlah ke laman web kami di planetmahir.com untuk mengikuti kelas percuma,” katanya. – UTUSAN ONLINE