MELAKA: Lima pemandu termasuk seorang tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya, Ahad lalu.
Tertuduh Azwan Md. Zin, 31, yang merupakan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Mascleonza Majakus, 33, bekerja sebagai penyelia kontraktor, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Dalam mahkamah berasingan, tiga yang lain, Suhisham Suhaimi, 28; Muhammad Aiman Azim Abdullah, 30 dan Muhammad Izzad Khalid, 31, turut membuat pengakuan sama di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.
Mengikut pertuduhan berasingan, empat daripada tertuduh iaitu Azwan, Suhisham, Muhammad Aiman dan Muhammad Izzad didakwa memandu kenderaan masing-masing di atas jalan raya dalam keadaan berbahaya kepada pengguna lain.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh kira-kira pukul 11.30 malam di Jalan Kota Shahbandar Pesisir, Pantai Eye On Malaysia pada 20 Februari lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda bermula RM5,000 sehingga RM15,000 dengan lesen memandu digantung mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020.
Sementara itu, Mascleonza didakwa atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dengan kadar alkohol dalam nafas sebanyak 216 mliligram per 100 mililiter iaitu melebihi paras dibenarkan.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh, kira-kira pukul 12.30 malam di Jalan Kubu, Melaka Tengah pada 21 Februari.
Dia didakwa mengikut Seksyen 45A (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda bermula RM10,000 sehingga RM30,000.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 terhadap Azwan dan Mascleonza manakala tiga lagi dicadangkan jaminan RM8,000 oleh Anis Najwa Nazari.
Dalam pada itu, peguam Ishak Kari hadir mewakili Azwan manakala peguam S. Daniel mewakili Suhisham, Muhammad Aiman dan Muhammad Izzad.
Mahkamah membenarkan Azwan diikat jamin sebanyak RM2,000 dan Mascleonza RM1,500 serta menetapkan tarikh sebutan semula pada 5 April ini.
Tiga yang lain dikenakan jaminan sebanyak RM4,000 setiap seorang dengan tarikh sebutan semula pada 25 Mac ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, lagak empat pemandu termasuk seorang anggota ATM yang berlumba di jalan raya memakan diri apabila kesemua mereka ditahan dalam Op Samseng Jalanan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam, kesemua pemandu kereta berusia antara 28 tahun sehingga 31 tahun itu ditahan di Jalan Kota Syah Bandar di sini berhampiran Jabatan Laut Malaysia. – UTUSAN ONLINE