Lesap RM24,000 lepas isi maklumat My Bank Negara - Utusan Malaysia

Lesap RM24,000 lepas isi maklumat My Bank Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki berputih mata apabila duit RM24,400 daripada banknya lesap selepas mengisi maklumat akaun dalam aplikasi palsu, My Bank Negara.

Dia yang berusia 25 tahun dan bekerja sebagai penulis artikel dipercayai menjadi mangsa sindiket Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden E. Sundra Rajan berkata, perkara itu bermula selepas mangsa menjawab satu panggilan kononnya daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau berkata, mangsa diberitahu bahawa namanya telah didaftarkan dengan satu syarikat yang mempunyai hutang tertunggak RM38,600.90.

“Mangsa menafikan bagaimanapun pangilan terus disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

“Mangsa turut didakwa terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah dan pengubahan wang haram. Mangsa percaya dengan kata-kata suspek dan mengikuti arahan individu berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini (Isnin).

Sundra Rajan berkata, selepas itu pegawai polis berkenaan  mengarahkan mangsa mengisi butiran akaun bank serta nombor pin melalui aplikasi berkenaan kononnya bagi tujuan siasatan.

“Selepas menghantar semua butiran bank, mangsa baru sedar dia terpedaya sebelum dia menghubungi pihak bank. Malangnya bank memaklumkan terdapat pengeluaran wang berjumlah RM24,400,” katanya.

Berikutan itu, katanya, polis memohon orang ramai supaya tidak  percaya dengan individu yang menyamar sebagai staf LHDN dan sebagainya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya