Lembaga Disiplin UMNO tolak 3 permintaan Tun Faisal

Lembaga Disiplin UMNO tolak 3 permintaan Tun Faisal

TUN FAISAL ISMAIL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lembaga Disiplin UMNO menolak ketiga-tiga permintaan Tun Faisal Ismail Aziz selepas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya itu memohon pertimbangan bagi persediaan dan keadilan menghadapi tribunal parti yang ditetapkan pada Isnin ini.

Tiga permintaan itu ialah memohon Lembaga Disiplin untuk mengemukakan senarai nama anggota tribunal iaitu pengerusi dan anggota-anggotanya.

Kedua, mendedahkan nama pengadu atau nama UMNO bahagian yang membuat aduan terhadapnya serta apakah butiran aduan asal dan dakwaan pelanggaran peraturan-peratuan.

Ketiga ialah membenarkan membawa dua orang pengamal undang-undang untuk hadir bersama sebagai pemerhati dan pihak yang boleh menasihati ketika sesi tribunal itu.

Menurut Tun Faisal, permohonan itu dibuat selepas berbincang dengan rakan-rakan peguam dan pemimpin veteran UMNO yang telah melihat bagaimana Lembaga Disiplin dan proses keadilan dilaksanakan di dalam parti sebelum ini, termasuklah dalam kes pemecatan Datuk Lokman Adam.

Bagaimanapun, surat permohonan itu yang dihantar kepada Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Zul Hasnan Rafique itu ditolak tanpa dinyatakan sebab walaupun Sekretariat Lembaga itu berjanji untuk memberi seluas-luas ruang kepadanya untuk membela diri. 

“Saya tidak tahu apa sebenarnya yang menjadi kebimbangan dan ketakutan kepada pihak Lembaga Disiplin UMNO apabila tidak menunaikan permintaan saya. 

“Bukankah jika ketiga-tiga permintaan ini dipenuhi, tanggapan terhadap Lembaga Disiplin UMNO akan menjadi lebih positif? Tidakkah Lembaga Disiplin UMNO dan UMNO sendiri akan dilihat amat komited untuk berlaku adil dan bersikap telus?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tun Faisal sebelum ini diarahkan hadir ke tribunal selepas diberikan surat tunjuk sebab mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadap pelanggaran Perlembagaan UMNO.

Dalam pada itu, beliau berkata, ketelusan Lembaga Disiplin pernah diragui pelbagai pihak sebelum ini sebagaimana berlaku dalam kes-kes yang dibawa ke lembaga itu melibatkan pesalah kes politik wang semasa pemilihan parti, bagi kes yang hampir sama, hukumannya berbeza mengikut individu. 

Katanya, bagi individu biasa, mereka dikenakan hukuman gantung tetapi bagi individu yang mempunyai kaitan rapat dengan kepemimpinan, mereka hanya diberikan amaran.

“Begitu juga kes yang melibatkan Lokman Adam. Sampai sekarang masih ada bunyi-bunyi berkaitan ketelusan dan keadilan mengenainya.

“Jadi apabila permintaan ini ditolak, bagi saya, ini adalah ‘missed opportunity’ kepada Lembaga Disiplin untuk menunjukkan bahawa mereka telus, benar-benar terbuka dan benar-benar mahu mencari kebenaran,” katanya.

Pun begitu, Tun Faisal berkata, beliau membuat permohonan sekali lagi kepada Zul Hasnan dan menyatakan justifikasi terhadap permintaannya itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN