JOHOR BAHRU: Seorang lelaki Orang Asli berusia 61 tahun maut dipercayai dipijak seekor gajah liar di Hutan Simpan Sungai Teresap, Endau, Mersing, pagi semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.15 tengah hari.
Katanya, lima anggota Perhilitan bergegas ke Klinik Kesihatan Endau dan mengesahkan mangsa maut dipercayai akibat dipijak gajah liar.
“Mangsa dikenali sebagai Din Janja. Anak mangsa, Endra Din, 18, memberitahu dia bersama mangsa memasuki hutan berkenaan pada pukul 8.30 pagi untuk memancing ikan sebelum mereka diserang seekor gajah liar.
“Anaknya sempat melarikan diri dan mendapatkan bantuan daripada orang kampung pada pukul 10 pagi, manakala bapanya diserang gajah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Salman, mangsa berjaya dibawa keluar daripada kawasan itu kira-kira pada pukul 12 tengah hari, namun meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.
“Tinjauan kakitangan Perhilitan Mersing di lokasi kejadian bersama wakil Orang Asli mengesahkan terdapat kesan tapak kaki disyaki seekor gajah jantan, kesan tempat tidur gajah dan kesan pokok tumbang baharu yang disyaki dilakukan gajah tersebut.
“Serangan itu dipercayai melibatkan seekor gajah tunggal yang berpecah daripada kawanannya manakala lokasi berkenaan dikenal pasti sebagai kawasan laluan haiwan berkenaan,” ujarnya.
Sementara itu, Salman turut memberitahu proses bedah siasat terhadap mangsa sedang dibuat bagi memastikan punca sebenar kematian.
Pihaknya turut menasihatkan agar orang ramai yang berhasrat keluar memancing ke dalam hutan untuk lebih berhati-hati dan memastikan kawasan tersebut selamat untuk dimasuki. – UTUSAN