TAMPIN: Seorang bapa tiri kepada kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang disyaki mati akibat didera di Halacara Baru, Gemas pada 1 Februari lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Tampin di sini esok.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab wahab berkata, lelaki berusia 30 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori simen sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.
Menurut beliau, kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sembilan bagi tindakan selanjutnya.
“Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sembilan bersetuju agar tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Utusan Online pada 11 Februari lalu melaporkan seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes kematian anak tirinya.
Difahamkan, mangsa tinggal di rumah sewa bersama ibu, bapa tiri dan seorang abang di Kampung Halacara Baru, Gemas.
Lelaki berkenaan ditahan selepas rakaman ‘Child Interview Centre’ dilakukan ke atas adik beradik kanak-kanak yang maut berkenaan. – UTUSAN