KUANTAN: Seorang ejen insurans di Bentong dekat sini berputih mata kerugian RM210,000 akibat dipedaya sindiket menawarkan pelaburan tidak wujud.
Kejadian bermula apabila wanita berusia 44 tahun itu menjalin hubungan dengan seorang lelaki April tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa pernah berjumpa dengan lelaki berusia 35 tahun itu sebanyak empat kali sebelum ini.
“Suspek mengajak mangsa menyertai pelaburan mata wang yang menjanjikan keuntungan cepat.
“Oleh kerana percaya kepada suspek, mangsa memberikan wang RM210,000 melalui pemindahan secara dalam talian dan tunai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ujar Mohd. Wazir, selepas beberapa bulan menyerahkan wang itu, mangsa meminta bukti pelaburan dan penyata keuntungan daripada suspek.
Beliau menambah, suspek bagaimanapun meminta tambahan pelaburan sebanyak RM30,000 lagi.
“Sehingga kini, tiada pelaburan yang dijanjikan. Seterusnya pengadu membuat laporan polis kerana berasa telah tertipu,” ujarnya.
Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE