IPOH: Seorang anggota polis berpangkat lans koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 25 pertuduhan bersubahat mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut gaji berjumlah RM263,810.85.
Mohd. Iqbal Fakhruddin Roslan, 31, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Iqbal yang ketika ini bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, didakwa melakukan perbuatan tersebut bersama isterinya, Siti Aisyah Mohamad Amir, 31, yang masih bebas.
Lelaki itu dituduh bersubahat dengan Siti Aisyah iaitu Eksekutif Sumber Manusia di Hovid Berhad dengan niat memperdaya syarikat berkenaan iaitu mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu iaitu nombor akaun bank atas namanya bagi pembayaran gaji bulanan sedangkan dia bukan pekerja syarikat berkenaan yang berjumlah RM263,810.85.
Pasangan suami isteri itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di pejabat Hovid Berhad di Ipoh sejak 31 Mei 2018 hingga 30 Jun 2020.
Pendakwaan ke atas Mohd. Iqbal itu dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 18 akta yang sama.
Sabit kesalahan lelaki itu boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Mohammad Redzuan Mohamed Yusoff.
Pada prosiding tersebut, Nurul Wahida memohon mahkamah untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana bimbang lelaki itu akan melarikan diri.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan jaminan sebanyak RM125,000 dengan dua orang penjamin.
Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di pejabat SPRM dua kali sebulan dan menetapkan 17 Jun ini untuk tarikh sebutan semula kes.
SPRM semalam dalam kenyataannya, meminta Siti Aisyah yang berasal dari Shah Alam, Selangor untuk tampil bagi membantu siasatan kes berkaitan penyelewengan.
Wanita itu dipercayai beralamat terakhir di Blok 2, Tingkat 10B, Berek Polis Seksyen 9, Persiaran Kayangan, Seksyen 9, Shah Alam, Selangor. – UTUSAN ONLINE