PUTRAJAYA: Sejumlah 31,600 bakal jemaah haji yang sepatutnya menunaikan ibadah fardu itu musim lalu ditawarkan semula mengikuti Kursus Asas Haji (KAH) musim 1442H/2021M.
Menurut kenyataan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang dihantar kepada semua peserta terlibat melalui aplikasi WhatsApp hari ini, program itu bagaimanapun dijalankan secara dalam talian.
KAH bersiri kali ini malah bermula agak lambat daripada jadual iaitu pada 5 Februari depan berbanding kelazimannya mengikut takwim Hijrah pada 1 Jamadilawal atau 15 Disember lalu.
Susulan kelewatan itu, Tabung Haji memaklumkan bahawa modul KAH sebanyak 14 siri dipadatkan dengan dua siri dibuat secara serentak pada hari sama kursus tersebut hingga 21 Mac depan.
Jadual KAH dan alamat pautan laman Youtube turut disertakan dengan peserta diberi pilihan sama ada menonton secara langsung melalui peranti telefon pintar atau set komputer riba.
Kaedah maya itu dilaksanakan ekoran isu penularan serius pandemik Covid-19 dan larangan himpunan beramai-ramai termasuk KAH di masjid yang biasa dilakukan Tabung Haji sejak sekian lama.
Bagaimanapun hantaran mengenai perkara ini menerusi akaun sosial Facebook rasmi Tabung Haji yang tular diperkatakan netizen turut mengundang perasaan tidak puas hati oleh banyak pihak.
Ini termasuk kalangan puluhan ribu bakal jemaah dan pemohon rayuan 1442H/2021M apabila siri KAH tersebut hanya melibatkan pendeposit dengan tahun giliran haji ialah 1441H/2020M.
Tabung Haji namun menjelaskan bahawa KAH pada kali ini tidak dibuka kepada umum kerana jumlah penyertaan akan menjadi terlalu ramai dan dikhuatiri mengganggu keberkesanan pengajaran.
Apatah lagi, proses pembelajaran itu dibuat dalam talian dan pihak Tabung Haji ingin memberikan ruang bagi peserta kursus supaya dapat bertanya soalan kepada penceramah secara langsung.
Setakat ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) belum memutuskan untuk memberi kebenaran kepada umat Islam menunaikan ibadah haji di Tanah Suci seperti ditetapkan pada musim lalu.
Sekiranya dibolehkan, kumpulan haji pertama dijangka berlepas dari tanah air pada 12 Jun depan sehingga penerbangan terakhir seminggu sebelum wukuf di Arafah pada 19 Julai kelak.
Tahun lalu, Arab Saudi hanya membenarkan sejumlah 10,000 jemaah tempatan dan asing yang menetap di negara itu mengerjakan haji dengan kawalan protokol kesihatan paling ketat.
Ia ekoran pelaksanaan perintah berkurung dan larangan masuk antarabangsa sejak akhir Mac lalu yang menyaksikan buat julung kali, suasana lengang di sekitar kompleks Masjidil Haram.
Untuk musim kali ini, kerajaan negara tersebut memberi bayangan kemungkinan ‘dibuka pintu’ kepada jemaah dari luar dengan syarat wajib sudah menjalani suntikan vaksin Covid-19. – UTUSAN