Kilang proses ayam sejuk beku didenda lagi buang efluen lebih had - Utusan Malaysia

Kilang proses ayam sejuk beku didenda lagi buang efluen lebih had

KEADAAN efluen yang dibuang oleh kilang memproses ayam sejuk beku di Tanjong Karang, Selangor yang dikesan pada Februari 2019.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJONG KARANG: Walaupun pernah dikenakan denda atas kesalahan melepaskan sisa kumbahan atau efluen perindustrian melebihi had piawai pada 2012, sebuah kilang memproses ayam sejuk beku di daerah ini masih berdegil apabila didapati mengulangi kesalahan tersebut.

Premis yang terletak di daerah Tanjong Karang itu didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah melakukan perbuatan itu.

Hakim Razali Ariffin menjatuhi hukuman itu selepas syarikat berkenaan selaku Orang Kena Saman (OKS) yang diwakili pengurusnya berusia 56 tahun mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, syarikat yang berlesen dan beroperasi sejak 2003 itu didapati melepaskan kandungan pepejal terampai yang mempunyai kepekatan sebanyak 190 miligram perliter (mg/l) melebihi had kepekatan yang dibenarkan iaitu 100 mg/l.

Malah, perbuatan syarikat itu didakwa telah melebihi had piawai bagi satu parameter di bawah Peraturan 11(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

Syarikat yang dimiliki warga tempatan itu didakwa melakukan kesalahan di Tanjong Karang pada pukul 10.25 pagi pada 27 Februari 2019.

Sabit kesalahan, syarikat itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000, atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Faizura Mohd. Ali dan Mohd. Ridzuan Zainal memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman setimpal berdasarkan pertimbangan ke atas kepentingan awam.

Bagaimanapun, Peguam Datuk Jasbeer Singh Kaura dan Nur Afifah Mat Swadi mewakili OKS memohon hukuman ringan berbentuk denda sahaja dikenakan ke anak guam mereka.

Untuk rekod, syarikat tersebut pernah didenda RM15,000 pada 2012 atas kesalahan melepaskan efluen melebihi had piawai ditetapkan.

Dalam pada itu, Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, pihaknya sentiasa memantau setiap premis yang pernah dikenakan denda bagi memastikan pemiliknya tidak melakukan kesalahan yang sama.

“Sekiranya setiap premis merawat efluen dengan menggunakan kaedah yang betul dan cekap, air akan menjadi jernih,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya