PUTRAJAYA: Malaysia masih merekodkan kes sembuh yang tinggi melangkaui kes positif iaitu 4,889 kes dengan 13 kematian dan 13 kluster.
Bagi kes positif pula, ia menunjukkan sejak beberapa hari lalu merekodkan kes di bawah 3,000 kes iaitu 2,936 kes begitu juga dengan kes aktif, apabila turut mengalami penurunan kes kepada 36,797 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 220 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 104 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Katanya, bagi kes positif, semua negeri merekodkan kes yang rendah di mana Selangor merekodkan merekodkan 978 kes berbanding sebelum ini, yang setiap hari mencatatkan lebih 1,000 kes.
“Ia diikuti Johor, 730 kes; Kuala Lumpur, 227 kes; Sarawak, 199 kes; Negeri Sembilan, 191 kes; Pulau Pinang, 188 kes; Perak, 155 kes dan Sabah, 101 kes
“Baki negeri hanya merekodkan kes dua angka iaitu Kelantan, 38 kes; Terengganu, 37 kes; Kedah, 36 kes; Pahang dan Melaka, masing-masing 26 kes manakala Putrajaya, tiga kes; Labuan, satu kes dan Perlis, sifar kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai 13 kematian, beliau berkata, ia melibatkan enam kes di Kuala Lumpur, tiga kes di Selangor, dua kes di Sarawak serta Melaka dan Johor, masing-masing satu kes di mana 12 kes adalah warga tempatan dan satu kes, warga asing.
Katanya, kes melibatkan 10 lelaki dan 13 wanita yang berusia antara 53 hingga 84 tahun.
“Hanya seorang lelaki berusia 60 tahun di Melaka sahaja tidak mempunyai penyakit manakala yang lain mempunyai pelbagai latar belakang penyakit.
“Antaranya, obesiti, dislipidemia, kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik, strok, jantung, psoriasis, Schwannoma dan Parkinson,” katanya.
Dr. Noor Hisham berkata, 10 kluster berkaitan tempat kerja, dua kluster komuniti dan satu kumpulan berisiko tinggi.
Kluster berkaitan tempat kerja, katanya, Johor merekodkan lima kluster tempat kerja iaitu Kluster Jalan Murni 12 di Kulai, 339 kes; Kluster Jalan Kota Murni di Batu Pahat, 12 kes; Kluster Jalan Indah Utama melibatkan Kulai, Johor Bahru, dan Kota Tinggi, 23 kes serta Kluster Jalan Tun Mutahir di Kota Tinggi, tujuh kes dan Kluster Parit Haji Khamis di Batu Pahat, sembilan kes.
“Selangor merekodkan dua kluster iaitu Kluster Kompleks Perabut di Kuala Langat, 21 kes dan Kluster Jalan Sementa di Petaling, 12 kes manakala Kluster Kejatau di Sri Aman, Sarawak, tujuh kes.
“Dua lagi kluster tempat kerja ialah Kluster Jalan Kuchai di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, 14 kes dan Kluster Singgahmata di Lahad Datu, Sabah, 11 kes,” katanya.
Tambahnya, dua kluster komuniti iaitu Kluster Jalan Green di Kuching, Sarawak, enam kes dan Kluster Bukit Petiti melibatkan Kuala Terengganu, Marang, dan Dungun, Terengganu, 15 kes.
“Bagi kluster kumpulan berisiko tinggi, Kluster Kubang Jambu melibatkan daerah Kuala Nerus, Kuala Terengganu, dan Marang, Terengganu, tujuh kes,” katanya. – UTUSAN ONLINE