Kes harian makin tinggi duduklah di rumah - Noor Hisham

Kes harian makin tinggi, duduklah di rumah – Noor Hisham

NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Kes seharian semakin meningkat dan kita perlukan tahap disiplin dan tanggungjawab sosial yang tinggi untuk memutuskan jangkitan Covid-19 dalam negara. Sila duduk di rumah dan jika terpaksa keluar patuhilah segala prosedur operasi standard (SOP).”

Itu nasihat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berhubung situasi semasa kes positif Covid-19 di negara ini.

Walaupun jumlah kes turun kira-kira 1,000 kes berbanding kelmarin, namun ia masih mencatatkan kes tertinggi melebihi 4,000 iaitu 4,214 kes selepas mencatatkan tiga hari berturut-turut melepasi 5,000 kes.

Bagaimanapun, kes sembuh pula mengatasi kes positif semalam iaitu 4,280 kes menjadikan keseluruhan kes sembuh sebanyak 170,329 kes manakala kes positif negara pula, sebanyak 219,173 kes.

Noor Hisham berkata, terdapat 316 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 137 kes memerlukan bantuan pernafasan dan 10 kematian.

Katanya, dua negeri mencatatkan kes melebihi 1,000 kes iaitu Selangor mencatatkan 1,362 kes positif diikuti Johor, 1,068 kes manakala Kuala Lumpur, 702 kes; Sabah, 276 kes; Perak, 193 kes; Pulau Pinang, 119 kes dan Sarawak, 105 kes.

“Baki negeri lain mencatat kes dua angka iaitu Negeri Sembilan, 91 kes; Melaka, 85 kes; Kelantan, 57 kes; Pahang, 54 kes; Kedah, 47 kes; Terengganu, 38 kes; Putrajaya, 10 kes manakala Labuan, tujuh kes dan Perlis, sifar kes.

“Terdapat 14 kluster baharu yang telah dikenal pasti melibatkan sembilan kluster berkaitan tempat kerja, tiga kluster kumpulan berisiko tinggi, dan dua kluster komuniti manakala Kes kematian melibatkan tiga kes di Negeri Sembilan dan masing-masing satu kes di Johor, Labuan, Sarawak, Selangor, Perak, Melaka, dan Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas mengenai 14 kluster baharu, Noor Hisham berkata, sembilan kluster berkaitan tempat kerja iaitu dua di Selangor, Kluster Tapak Bina Jalan Lagoon di Petaling, sebanyak 76 kes dari 880 individu dan Kluster Industri Puchong di Petaling, sebanyak 44 kes dari 200 individu yang disaring.

Katanya, dua di Perak iaitu Kluster Persiaran Raya di Manjung seramai 95 individu disaring, di mana 18 kes positif dan Kluster Lapangan Siber di Kinta, seramai 50 individu disaring, di mana 21 kes dikesan positif.

“Negeri lain pula, Kluster Kampung Parit Masjid di Muar, Johor, sebanyak 44 kes dari 183 individu serta Kluster Tapak Bina Jalan Puchong, Kuala Lumpur, sebanyak 332 kes dari 553 individu dan Kluster Ladang Sungai Pin di Kinabatangan, Sabah, seramai 36 individu disaring, di mana kesemuanya positif.

“Kluster Bintang Daily di Meradong, Sarawak, sebanyak lapan kes dari 46 individu disaring dan Kluster Nilam Tiga di Seremban, Negeri Sembilan, seramai 237 individu telah disaring, di mana 63 kes dikesan positif,” katanya.

Beliau berkata, tiga kluster kumpulan berisiko tinggi iaitu KLuster Sungai Purun melibatkan Hulu Langat dan Petaling, Selangor, sebanyak 27 kes dari 44 individu serta Kluster Jalan Empat di Titiwangsa, Kuala Lumpur, sebanyak 29 kes dari 89 individu dan Kluster Jalan Tan di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, sebanyak 17 kes dari 31 individu.

“Dua kluster komuniti ialah Kluster Kampung Samin melibatkan Sipitang, Kota Belud, dan Tuaran, Sabah, seramai 121 individu disaring, di mana 33 kes positif dan Kluster Padas Damit di Beaufort, Sabah, seramai 160 individu disaring, di mana 32 kes dikesan positif,” katanya.

Mengenai 10 kematian pula, Noor Hisham berkata, ia membabitkan tujuh lelaki dan tiga wanita berusia antara 26 hingga 80 tahun.

“Hanya lapan pesakit mempunyai pelbagai latar belakang penyakit iaitu kencing manis, darah tinggi, jantung, buah pinggang kronik, obesiti, paru-paru obstruktif kronik (COAD), gout, dislipidemia dan penyakit hati kronik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN