Kes aktif Covid-19 lebih 50,000 kes - Noor Hisham

Kes aktif Covid-19 lebih 50,000 kes

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia terus merekodkan kes positif baharu Covid-19 melebihi 3,000 iaitu 3,847 kes yang menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 238,721 kes.

Manakala jumlah kes aktif pula sudah melebihi 50,000 kes iaitu 50,894 kes dan 12 kematian serta pertambahan 12 lagi kluster baharu.

Kes sembuh pula direkodkan sebanyak 1,692 kes dengan jumlah kumulatif sebanyak 186,970 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 305 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 139 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, Selangor terus menjadi negeri tunggal yang mencatatkan kes melebihi 1,000 kes iaitu 1,481 kes diikuti Johor, 585 kes; Kuala Lumpur, 402 kes; Melaka, 329 kes; Sabah, 233 kes; Pulau Pinang, 211 kes;  Negeri Sembilan, 133 kes dan Sarawak, 185 kes.

“Manakala negeri lain hanya merekodkan kes dua angka iaitu Kedah, 64 kes; Kelantan, 62 kes; Terengganu, 56 kes; Perak, 36 kes; Pahang, 48 kes dan Labuan, 10 kes kecuali Putrajaya, lapan kes dan Perlis, empat kes.

“Bagi kes kematian, tiga di Sabah, tiga di Johor, dua di Kuala Lumpur, dua di Melaka, masing-masing satu kes di Selangor dan Kelantan di mana sebanyak lapan kes kematian melibatkan warga tempatan dan empat warga asing,” katanya dalam kenyataan semalam.

Noor Hisham berkata, kes kematian itu melibatkan tujuh lelaki termasuk tiga warga asing dan lima wanita termasuk seorang warga asing berusia antara 38 hingga 84 tahun.

“Hanya seorang lelaki warga asing yang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur tidak mempunyai penyakit manakala bakinya, mempunyai pelbagai latar belakang penyakit.

“Antara penyakit yang dikesan ialah darah tinggi, kencing manis, jantung, strok, glioblastoma multiforme,  buah pinggang kronik, gout, leukemia dan dislipidemia,” katanya.

Dalam perkembangan membabitkan 12 kluster baharu, beliau berkata, kluster tempat kerja iaitu  Kluster Gong Nering di Besut, Terengganu dengan 26 kes iaitu kes indeks lelaki berusia 28 tahun bergejala manakala, kluster ini membabitkan sebuah syarikat perkhidmatan di Kampung Gong Nering.

Katanya, Kluster Jalan Chester di Tawau, Sabah dengan 10 kes iaitu kes indeks wanita Filipina berusia 19 tahun bergejala di mana melibatkan pekerja sebuah kedai emas di Jalan Chester, Bandar Tawau dan Kluster Tapak Bina Jalan Sungai Besi di Cheras, Kuala Lumpur melibatkan 12 kes hasil saringan bersasar di sebuah tapak binaan di Jalan Sungai Besi.

“Kluster Jalan Bayu Satu di Johor Bahru, Johor dengan 18 kes dikesan iaitu hasil saringan bersasar di sebuah kilang dan Kluster Jalan Istimewa Tujuh di Johor Bahru dengan 29 kes melibatkan seorang wanita berusia 45 tahun bergejala manakala, ia melibatkan sebuah kilang.

“Kluster Jalan Tun Mutalib di Kota Tinggi membabitkan enam kes iaitu kes indeks wanita Indonesia berusia 28 tahun saringan sebelum pulang ke negara asal serta melibatkan sebuah kilang dan Kluster Gudang Salak Tinggi di Sepang, Selangor membabitkan 42 kes hasil saringan bersasar di tempat kerja melibatkan sebuah syarikat perkhidmatan,” katanya. 

Tambahnya, Kluster Industri Kampung Baru di Petaling, Selangor melibatkan 167 kes hasil saringan bersasar di tempat kerja melibatkan tiga kilang dan Kluster Lingkaran Cyber di Sepang dan Petaling, Selangor dengan 24 kes di sebuah pasar raya.

“Kluster Jalan Banting-Klang di Kuala Langat, Selangor dengan 13 kes di sebuah kilang dan Kluster Jalan Kuala Selangor dengan 11 kes iaitu kes indeks lelaki berusia 18 tahun hasil saringan kontak rapat yang melibatkan sebuah pusat pengajian.

“Satu kluster kumpulan berisiko ialah Kluster Kubur Darau di Besut, Terengganu dengan 15 kes iaitu kes indeks lelaki bergejala berusia 42 tahun dari Jalan Kubur Darau, Jerteh serta melibatkan sebuah pusat perubatan di Besut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya