Kerjasama Gerakan bukti PN inklusif - Azmin Ali - Utusan Malaysia

Kerjasama Gerakan bukti PN inklusif – Azmin Ali

MOHAMED AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mahu memperkasakan perpaduan dalam masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, kaum dan agama.

Dalam satu kenyataan media, Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penyertaan Gerakan adalah bukti PN bersifat menyeluruh kepada rakyat Malaysia.

“PN Negeri Selangor akan memberi fokus kepada usaha merencana dan melaksanakan dasar dan kebijakan demi menghasilkan kemakmuran serta keadilan sosial.

“Penyertaan Gerakan ke dalam PN adalah amat signifikan untuk memperkukuh citra PN dan membuktikan dasar PN yang inklusif dan meraikan kepelbagaian,” katanya.

Gerakan secara rasminya menyertai Mesyuarat Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional Selangor baru-baru ini.

Ia adalah penglibatan sulung Gerakan di peringkat negeri selepas pengumuman Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung penyertaan Gerakan sebagai parti anggota PN pada 11 Februari lalu.

Mohamed Azmin juga positif kerjasama antara PN dan Gerakan akan mewujudkan kepelbagaian dalam parti itu yang juga diterima oleh golongan muda selain memantapkan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Saya yakin dasar ini akan memperkukuh usaha PN untuk menggembleng penyertaan dan dukungan rakyat khususnya generasi milenial selain turut beriltizam untuk mendakap paradigma baru dalam perjuangan rakyat dan menyuntik dinamisme baru kepada politik yang berteraskan nilai.

“Badan Perhubungan Negeri Selangor mengambil ketetapan untuk memperkukuh kerjasama yang sedia ada dan melangkah maju sebagai satu kekuatan dalam PRU-15 serta pasca pilihan raya untuk membentuk Kerajaan yang utuh dan stabil dengan penyertaan parti-parti anggota yang lebih unggul dan peranan yang dinamik,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya