Kerjasama Amanah - PKR bergolak - Utusan Malaysia

Kerjasama Amanah – PKR bergolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa kepemimpinan tertinggi parti itu mengkaji semula kerjasama dengan PKR berikutan isu beberapa pemimpinnya dikatakan beralih memberi sokongan kepada parti berkenaan.

Dalam satu kenyataan media bersama, pemimpin Amanah Bukit Bintang mendakwa perbuatan tersebut mencalarkan imej parti dan memberi kesan kepada kerjasama dua parti itu.

“Kami pimpinan Amanah Kawasan Bukit Bintang menggesa pimpinan Amanah Nasional supaya mengkaji semula hubungan kerjasama dengan PKR dan kedudukan parti tersebut dalam Pakatan Harapan (PH) setelah menerima tiga ADUN Amanah di Johor dan dua ADUN AMANAH di Selangor yang melompat parti.

“Senario ini mengeruhkan lagi hubungan serta mencalarkan semangat setiakawan antara parti-parti dalam PH. Strategi politik parti-parti dalam PH sepatutnya berteraskan pembelaan nasib rakyat yang terkesan atas caca marba pengurusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang masih tiada keabsahan dan bukannya menzalimi sesama rakan parti dalam pakatan dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika Parlimen dibubarkan,” katanya.

Pendirian bersama ittu dinyatakan Ketua Amanah Bukit Bintang, Ahmad Asri Talib; Timbalan Ketua Amanah Bukit Bintang, Ahmad Thaari Abdul Rahim; Ketua Pemuda Amanah Bukit Bintang, Sheikh Khuzaifah; Ketua Awan Amanah Bukit Bintang, Sharifah Juanie; Ketua Warda Amanah Bukit Bintang, Fatihah Salahuddin dan Ketua Arif Amanah Bukit Bintang, Ismail Othman.

Terdahulu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dalam satu kenyataan meluahkan rasa kesal dengan tindakan parti rakan PH yang menerima ADUN-ADUN Amanah yang melompat.

Katanya, tindakan tersebut melambangkan tiada kesepakatan dalam gabungan yang dibentuk.

Isu wakil rakyat melompat parti kembali menjadi perhatian selepas tiga ADUN Amanah iaitu Khairuddin A Rahim (Senggarang), Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhamad Said Jonit (Mahkota) dikatakan menyertai PKR.

Senada dengan pemimpin Amanah Bukit Bintang, Ketua Pemuda parti itu, Shazni Munir Mohd. Ithnin membidas PKR yang seolah-olah mengkhianati rakan gabungannya itu.

“Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melaksanakan tekad bersama untuk menolak budaya lompat parti sesama komponen yang jelas menguntungkan satu pihak dan merugikan pihak yang lain. Politik tikam belakang ini usah dibudayakan.

“Sebagai rakan gabungan dalam PH, menerima penyertaan wakil-wakil rakyat ini hanya menyebabkan hubungan antara parti renggang dan keruh pada kemudian hari,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya