Kerajaan rangka pelan 'campur tangan' selesai isu harga dedak - Utusan Malaysia

Kerajaan rangka pelan ‘campur tangan’ selesai isu harga dedak

CHE Abdullah Mat Nawi (kiri) bersama petani di kebun labu di Kampung Kandis, Bachok, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah merangka pelan intervensi termasuk mengadakan kerjasama strategik dengan pemain industri bagi menyelesaikan isu harga dedak haiwan ternakan yang melambung tinggi ketika ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kenaikan harga dedak di pasaran dipengaruhi oleh lonjakan harga komoditi dan bahan mentah utama yang diimport, terutama jagung bijian dari Argentina dan Brazil.

Menurutnya, pengeluaran jagung bijian tempatan pula setakat ini didapati masih belum mencapai keperluan komersial di peringkat pengilang terutama dari segi kuantiti dan kualiti.

“Harga jagung bijian import kini meningkat sebanyak 15.2 peratus kepada RM1,100 bagi setiap satu tan pada November 2020, berbanding kadar harga lama pada April 2020 hanya RM955 untuk satu tan.

“Kacang soya juga telah meningkat sebanyak 9.4 peratus kepada RM2,100 untuk setiap tan pada November 2020 berbanding RM1,920 per tan pada April 2020.

“Termasuk kos bahan lain yang diadun dalam makanan ternakan yang turut naik, harga dedak didapati mencecah 29 peratus lebih tinggi,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat ladang labu dan tembikai di Kampung Kandis, di sini hari ini.

Akhbar ini baru-baru ini melaporkan desakan penternak di seluruh negara supaya kerajaan segera mengambil tindakan bagi mengawal harga dedak yang naik melampau kebelakangan ini sehingga 30 peratus berbanding harga asal.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata, ekoran kenaikan harga jagung bijian, usaha mendapatkan bekalan bahan mentah dari negara jiran seperti Indonesia dan Thailand sedang digerakkan bagi menggantikan bekalan dari Brazil dan Argentina, sekali gus bakal menjimatkan kos logistik.

Selain itu katanya, kerjasama strategik bersama pemain industri sedang dibuat untuk mencari jalan meningkatkan pengeluaran jagung bijian tempatan secara komersial tanpa mengabaikan aspek kualiti.

“Para penternak haiwan komersial juga akan diberi peluang untuk mengikuti kursus penyediaan makanan tambahan kepada ternakan masing-masing bagi mengurangkan kebergantungan mereka terhadap makanan proses di pasaran,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya