GEORGETOWN: Permohonan Ahli Kariah Masjid Bandar Baru Ayer Itam selama tujuh tahun untuk membina sebuah sekolah kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di lot 7738 Mukim 13 akhirnya diluluskan kerajaan negeri.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri juga bersetuju meluluskan permohonan pemberi milikan sebahagian lot tanah kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk tujuan tapak Masjid Bandar Baru Ayer Itam, dekat sini.
Katanya, kelulusan permohonan tersebut dicapai melalui Mesyuarat Exco bertarikh 3 Februari 2021 dan disahkan pada 10 Februari 2021.
“Kelulusan permohonan pemberi milikan tanah kepada MAINPP untuk tujuan tapak Masjid Bandar Baru Air Itam (termasuk tapak letak kereta) adalah seluas 13,111 (1.31 hektar).
“Selain itu, kerajaan negeri juga bersetuju lot 7738 Mukim 13 seluas 5,868 meter persegi (0.58 hektar) dipohon pemberi milikan tanah oleh MAINPP untuk tujuan tapak sekolah KAFA,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri didakwa mengetepikan permohonan Kariah Masjid Bandar Baru Ayer Itam untuk membina sebuah SAR di situ.
Pembinaan SAR itu dicadangkan di atas tanah berkeluasan 0.77 hektar milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bersebelahan masjid berkenaan melibatkan bangunan tiga tingkat meliputi kelas tahfiz, tadika Islam dan dewan serba guna.
Menurut Ahmad Zakiyuddin, pada masa ini, MAINPP dalam proses mengemukakan permohonan pemberimilikan tapak KAFA tersebut kepada pentadbir tanah Timur Laut.
“Diharapkan keputusan ini dapat memberi manfaat untuk pembangunan rohani dan pendidikan Islam khusus di kariah Masjid Bandar Baru Air Itam,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zakiyuddin berkata, kerajaan negeri turut bersetuju menyampaikan bantuan one-off kepada peminjam aktif di bawah Skim Pinjaman Harapan (SPH) Negeri Pulau Pinang.
“Bantuan ini disalurkan bagi membantu golongan usahawan mikro dan kecil untuk meneruskan kelangsungan perniagaan masing-masing ketika pandemik Covid-19.
“Seramai 812 menerima bantuan berjumlah RM900 setiap seorang melalui bayaran terus secara EFT (Pindahan Dana Elektronik) ke akaun peminjam bermula pertengahan Februari ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE