Kerajaan mohon batal saman Khairuddin berhubung darurat

Kerajaan mohon batal saman Khairuddin berhubung darurat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia memohon untuk membatalkan saman pemula yang difailkan oleh bekas Penyelaras Parlimen Jasin Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berhubung pengisytiharan darurat yang diumumkan bulan lalu.

Permohonan itu yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini antara lain menggariskan alasan bahawa saman pemula oleh Khairuddin adalah remeh, mengaibkan dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Dalam saman pemula yang difailkan pada 18 Januari lalu, bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu selaku plaintif menamakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama dan kedua.

Saman itu bagi mencabar tindakan Muhyiddin menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung pengisytiharan darurat yang didakwanya tidak sah dan tidak  berperlembagaan.

Peguam Cara Negara, Datuk Abdul Razak Musa dalam afidavit yang diikrarkan bagi menyokong permohonan itu menyatakan, tiada bukti dalam permohonan Khairuddin, mahupun afidavit sokongan yang menyatakan bahawa Muhyiddin telah hilang kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Abdul Razak menyatakan, permohonan plaintif adalah sia-sia dan membazirkan masa mahkamah kerana hanya mengandungi persoalan semata-mata tanpa matlamat yang sahih dan tidak memberikan manfaat kepada mana-mana pihak.

Pada 12 Januari lalu, Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan Pengisytiharan Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos ini  sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19.

Dalam saman pemula itu, Khairuddin memohon mahkamah memutuskan empat persoalan keperlembagaan, antaranya sama ada nasihat seorang Perdana Menteri yang didakwa telah hilang kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi satu pengisytiharan darurat, adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Selain itu Khairuddin memohon mahkamah memutuskan sama ada nasihat bagi pengisytiharan darurat itu telah dibuat ‘in fraudem legis’(mencabul kedaulatan undang-undang)  yang mana ketika memberi nasihat itu beliau didakwa telah hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri.

Plaintif turut memohon mahkamah memutuskan sama ada mesyuarat Jemaah Menteri yang diketuai Perdana Menteri yang didakwa telah hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk mencadangkan Proklamasi Darurat kepada Yang di-Pertuan Agong, adalah tidak sah dan tidak berpelembagaan.

Selain itu, Khairuddin memohon mahkamah memutuskan sama ada penggantungan sidang Parlimen sehingga 1 Ogos ini oleh seorang Perdana Menteri yang didakwa telah hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat, adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Plaintif turut mendakwa, dengan hanya memiliki sokongan 110 Ahli Dewan Rakyat berbanding jumlah minimum 111 sokongan yang diperlukan, maka Muhyiddin telah hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya