KOTA TINGGI: Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar sebuah kereta selepas seorang lelaki cuba melanggar anggota yang melakukan serbuan di Perumahan Generasi Belia Felda (PGBF) Felda Sungai Sibol, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, lelaki berusia 30-an itu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan ditahan polis selepas cuba melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, tiada kejadian berbalas tembakan dalam insiden itu kecuali polis yang menembak tayar bagi menghentikan kenderaan dipandu suspek.
“Polis sedang melakukan operasi selepas hasil risikan mengesan suspek berada di rumah sewa di kawasan itu, bagaimanapun lelaki itu cuba melarikan diri yang memaksa tembakan ke arah tayar dilepaskan.
“Malah, tiada kecederaan serius yang dialami oleh suspek ketika diberkas polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hussin berkata, siasatan lanjut mengenai kejadian itu masih dilakukan termasuk penglibatan suspek dalam kumpulan mencuri kenderaan. – UTUSAN ONLINE