ALOR SETAR: Kedudukan pekan Kuala Kedah yang terletak di hujung sistem agihan bekalan air, menjadi antara faktor penduduk di kawasan itu sering berdepan masalah ketiadaan bekalan air.
Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air serta Tenaga negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, pembangunan pesat terutama sektor perumahan di sepanjang Jalan Simpang Kuala ke Kuala Kedah, di sini turut menyumbang kepada masalah berkenaan.
Beliau berkata, keadaan tersebut menyebabkan permintaan air terawat meningkat setiap tahun berbanding kapasiti pengeluaran Loji Rawatan Air (LRA) yang masih sama sejak sekian lama.
“Bekalan air bersih yang diproses di LRA Pelubang, Jitra dipam ke kolam takungan utama di Bukit Tinggi, Jitra sebelum disalurkan secara graviti melalui paip agihan serta retikulasi ke sepanjang jalan bermula dari sebahagian bandar raya Alor Setar, melalui Alor Mengkudu hingga ke pekan Kuala Kedah dengan jarak kira-kira 20 kilometer.
“Cadangan penyelesaian jangka panjang seperti dimaklumkan sebelum ini adalah projek menaik taraf LRA Pelubang yang dijangka siap pada awal 2024.
“Selepas siap beroperasi sepenuhnya, pekan Kuala Kedah akan menerima impak dari segi tambahan bekalan dan tekanan air,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan lebih 25,000 penduduk di beberapa buah kampung dan taman perumahan di Kuala Kedah sudah tidak tahan untuk berdepan masalah bekalan air yang berlarutan sejak 10 tahun lalu.
Keadaan itu menimbulkan kemarahan penduduk dengan ada antara mereka yang terpaksa mengeluarkan belanja mencecah RM1,000 sebulan semata-mata untuk membeli air mineral bagi kegunaan harian.
Mengulas lanjut, Suraya berkata, permintaan air terawat di kawasan itu juga meningkat sekali ganda setiap kali tibanya hari cuti termasuk pada hujung minggu.
Katanya, keadaan itu menyebabkan kadar aliran air mengalami penyusutan dan menjejaskan operasi rumah pam utama dengan tindakan jangka masa singkat seperti aktiviti takungan air pada waktu malam terpaksa dilakukan bagi meningkatkan semula paras tangki supaya berada pada tahap memuaskan untuk membekalkan air pada hari berikutnya.
“Sepanjang tempoh itu, aliran dan tekanan air sedikit terjejas. Begitu pun, situasi tersebut sememangnya berada dalam perhatian Syarikat Air Darul Aman (SADA) dengan mereka sedaya upaya memastikan pengguna tidak terputus bekalan air walaupun dengan sumber terhad.
“Sekiranya berlaku kecemasan seperti kematian contohnya, SADA akan membekalkan bantuan air daripada lori tangki berdasarkan permohonan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE