Kebakaran bendang turun 50 peratus di Perlis - Utusan Malaysia

Kebakaran bendang turun 50 peratus di Perlis

PESAWAH lazimnya mula membakar jerami selepas musim menuai bagi menyediakan bendang untuk musim seterusnya sekali gus mengundang risiko merebaknya kebakaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kes kebakaran di kawasan bendang semasa musim menuai di negeri ini turun kira-kira 50 peratus dari awal tahun sehingga kini berbanding tiga bulan pertama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Ruhisha Haris memberitahu, purata kes kebakaran bendang atau yang dikategorikan dalam kebakaran belukar sejak awal tahun ini adalah enam hingga tujuh kes sehari berbanding purata 13 kes bagi Januari hingga Mac 2020.

Katanya, laporan-laporan diterima meliputi keseluruhan negeri ini termasuk Padang Besar yang mempunyai kawasan bendang agak kurang.

“Tahun ini, kita lihat ada nampak banyak perubahan. Walaupun sudah sebulan cuaca kering dan tidak hujan, kes kebakaran bendang yang kami terima dalam enam hingga tujuh sahaja sehari.

“Pada musim ini, kami lihat pembakaran bendang atau jerami oleh penduduk itu ada tetapi terdapat elemen kawalan oleh mereka. Ini kerana, sejak dua tahun lalu kami banyak memberi hebahan mengenai perkara ini di radio dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Sementara itu, Ruhisha berkata, kebakaran bendang lazimnya berpunca daripada manusia sendiri kerana keadaan di negara ini tidak menyebabkan kawasan tersebut terbakar sendiri walaupun cuaca panas.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai mengelak melakukan pembakaran terbuka terutama di kawasan yang berisiko dan mudah merebak seperti kawasan belukar, lalang , hutan, kaki bukit dan kawasan bendang atau sawah padi semasa musim menuai.

“Sekiranya kaedah pembakaran terpaksa juga dibuat di kawasan bendang, maka ia perlu dibuat secara terkawal, berkelompok dan mendapatkan nasihat dar Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Jika terpaksa juga buat pembakaran jerami padi, elakkan daripada membakar sewaktu cuaca panas dan berangin. Boleh buat pada waktu malam dan membakar dalam skala yang kecil agar ia mudah dikawal dan tidak merebak,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya