Kawat duri di tiga laluan utama, tujuh lorong tikus di Felda Tersat - Utusan Malaysia

Kawat duri di tiga laluan utama, tujuh lorong tikus di Felda Tersat

MOHD. ADLI Mat Daud memeriksa kawat duri yang dipasang di Felda Tersat di Ajil, Hulu Terengganu yang dikenakan PKPD hingga 17 Februari ini - PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Tiga laluan utama dan tujuh lorong tikus di Felda Tersat, Ajil, di sini dipasang kawat duri susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu yang berkuat kuasa hari ini.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, kawalan ketat di keseluruhan lokaliti seluas 1144.94 hektar yang menempatkan seramai 650 penduduk dengan 185 daripadanya adalah peneroka itu bagi menghalang mana-mana individu keluar masuk ke kawasan tersebut.

“Setakat ini, tiada sebarang tangkapan atau kesalahan dilakukan penduduk dan tinjauan mendapati rata-ratanya mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pagi ini semua penduduk di Felda Tersat sekali lagi menjalani ujian saringan Covid-19 bagi menentukan sama ada terdapat kes jangkitan baharu atau tidak selepas kali pertama dilakukan mereka pada 29 Januari lalu,” katanya kepada pemberita.

Yang turut dikenakan PKPD selama 14 hari pada tarikh sama hingga 17 Februari ini ialah tapak bina kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kuala Berang di sini.
Mohd. Adli berkata, kira-kira 65 anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terlibat sepanjang penugasan pelaksanaan PKPD di kedua-dua lokaliti itu.

Dalam pada itu, katanya, satu kematian direkodkan di Felda tersebut beberapa hari lalu melibatkan seorang warga emas lelaki berusia 73 tahun yang merupakan imam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya