Kapal tunda asing berlabuh tanpa kebenaran ditahan - Utusan Malaysia

Kapal tunda asing berlabuh tanpa kebenaran ditahan

KAPAL tunda asing berlabuh tanpa kebenaran yang ditahan Maritim Malaysia Perak di Lumut, Perak, semalam. - MARITIM MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Sebuah kapal tunda yang berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 4.6 batu nautika barat daya Pulau Dua, Pulau Pangkor dekat sini ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak, semalam.

Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, kapal itu dikesan ketika anggota penguat kuasa agensi itu sedang melaksanakan Op Pintas kira-kira pukul 1 petang.

“Anggota mengesan sebuah kapal tunda membawa paip besi dalam keadaan mencurigakan lalu melakukan pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Shahrizan, hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut dikendalikan 13 kru termasuk ‘master’ terdiri daripada warga Filipina dan Honduras berusia antara 30 hingga 65 tahun serta mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

Beliau berkata, kapal yang berdaftar di Singapura itu dipercayai dalam perjalanan dari Indonesia menuju ke India.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kapal tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) (Pindaan) 2016 kerana berlabuh tanpa kebenaran daripada Pengarah Jabatan Laut,” katanya.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, pihak tersebut boleh dipenjarakan sehingga dua tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya.

Menurut Shahrizan, kesemua kru bersama kapal ditahan di ‘South East Point’ (SEP) di perairan Pulau Pangkor bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menguatkuasakan undang-undang dan mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau meminta pengusaha atau pemilik bot mematuhi undang-undang demi memastikan kesejahteraan perairan negara manakala orang ramai boleh menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya