Kanak-kanak terkandas setahun di Indonesia tiba pukul 12 ini - Utusan Malaysia

Kanak-kanak terkandas setahun di Indonesia tiba pukul 12 ini

AHMAD RADI DJONNAIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang terkandas di Tanjung Balai, Karimun, Indonesia sejak setahun lalu akibat pandemik Covid-19 akan tiba ke tanah air kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

Sebelum ini, kanak-kanak itu, Ahmad Radi Djonnaidi dari Kampung Pasir dihantar keluarganya ke negara republik itu untuk dimasukkan ke sebuah sekolah pondok pesanteren di sana pada 20 Februari tahun lalu.

Namun, urusan perpindahan itu mengambil masa yang lama dan ibu bapanya terpaksa pulang dahulu ke Johor Bahru semasa proses mendaftarkan Ahmad Radi di sekolah berkenaan.

Pengerusi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Johor, Datuk AbdLah@Abdullah Awang berkata, keadaan bertambah sukar selepas itu apabila Covid-19 melanda dan menyebabkan sempadan negara ditutup sekali gus menyebabkan Ahmad Radi terkandas di Tanjung Balai sehingga ke hari ini.

“Usaha membawa pulang Ahmad Radi sebelum ini tidak berjaya termasuk kekangan kewangan bapanya yang hanya bekerja sebagai penjaga stor di sebuah kedai di Batu 5, Tampoi dengan gaji RM50 sehari.

“Penantian ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit berakhir apabila dia akan dibawa pulang esok selepas setahun berlalu,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Bapa kepada Ahmad Radi, Djonnaidi Tamam merupakan warga tempatan manakala ibunya, Ratna Dewi berasal dari Tanjung Balai.

Proses membawa pulang kanak-kanak itu diusahakan DMDI Johor dan Alumni 4B Negeri Johor dengan kerjasama pihak Konsulat Malaysia di Pekan Baru, Indonesia.

AbdLah berkata, kanak-kanak itu djangka tiba di Terminal Feri Stulang Laut, di sini bersama-sama tiga lagi rakyat Malaysia dari Melaka yang turut terkandas di republik itu setelah ditahan pihak berkuasa Indonesia di Bengkalis.

“Kami membantu pembiayaan pulang Ahmad Radi dengan kerjasama Konsulat Malaysia di Pekan Baru,” katanya.

Selain Ahmad Radi, dua nelayan dari Pantai Kundor, Tanjung Kling di Melaka yang hanyut hingga ke Pulau Rupat dekat Bengkalis minggu lalu dan seorang remaja lelaki berusia 21 tahun dari Batu Berendam yang ditahan di Depoh Imigrasi di Bengkalis sejak hujung tahun lalu turut dibawa pulang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya