PETALING JAYA: Lagi kes dera dilaporkan.
Kali ini membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut selepas dipercayai menjadi mangsa dera di sebuah pangsapuri di Semenyih, di sini semalam.
Kematian kanak-kanak malang itu dilaporkan petugas Jabatan Kecemasan Hospital Kajang kira-kira pukul 1.20 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, petugas terbabit memberitahu mangsa dihantar ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibunya.
“Pemeriksaan lanjut doktor mendapati mangsa mengalami kecederaan di kemaluan dan terdapat kesan lebam di beberapa bahagian badan.
“Siasatan awal polis, kejadian dera itu disyaki berlaku di sebuah pangsapuri di Semenyih, yang mana kanak-kanak itu dipercayai dipukul teman lelaki ibu mangsa sehingga tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohd. Zaid, susulan itu, polis menahan ibu mangsa berusia 31 tahun yang tidak bekerja dan teman lelakinya berusia 28 tahun yang bekerja sebagai penarik kereta pada 5.45 petang.
“Kedua-dua mereka direman enam hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh berhubung dengan mana-mana balai yang terdekat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superintenden Mohd. Faizal Amir di talian 011-33319871,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE