Kaji semula polisi anak angkat bukan warganegara untuk ke sekolah kerajaan - Utusan Malaysia

Kaji semula polisi anak angkat bukan warganegara untuk ke sekolah kerajaan

DR. P. RAMASAMY menunjukkan dokumen berhubung maklumat berkaitan anak angkat bukan warganegara yang tidak dibenarkan ke sekolah kerajaan dengan alasan tidak memiliki pasport negara asal dalam sidang akhbar di Georgetown, Pulau Pinang, hari ini. - UTUSAN/MOHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Pusat diminta mengkaji semula polisi baharu Kementerian Pendidikan yang meminta ibu bapa angkat anak-anak bertaraf bukan warganegara mengemukakan pasport asal sebelum dibenarkan ke sekolah.

Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy berkata, polisi baharu itu yang bermula tahun ini menafikan hak anak-anak berkenaan mendapatkan ilmu kerana mereka dihalang ke sekolah kerajaan.

Katanya, kanak-kanak itu sebelum ini dibenarkan ke sekolah kerajaan dengan mengemukakan beberapa dokumen antaranya sijil kelahiran (bukan warganegara), sijil anak angkat yang sah atau perintah mahkamah.

“Namun, tahun ini Jabatan Pendidikan negeri mengarahkan ibu bapa dengan anak angkat sah bertaraf bukan warganegara mengemukakan pasport negara asal mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 2018, bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik memberi kemudahan kepada anak angkat bukan warganegara untuk bersekolah di sekolah kerajaan mulai tahun 2019.

Ramasamy yang juga Pemantau Bahagian Kewarganegaraan Negeri Pulau Pinang berkata, sehingga kini pihaknya menerima 19 aduan daripada ibu bapa angkat yang memaklumkan anak angkat mereka tidak dibenarkan ke sekolah dengan alasan mereka tidak memiliki pasport negara asal.

“Saya sudah menghantar surat rasmi kepada Jabatan Pendidikan negeri pada 13 November tahun lalu tetapi sehingga sekarang masih belum terima sebarang maklum balas.

“Sekolah dibuka pada 20 Januari lalu tetapi anak angkat bukan warganegara belum menerima keputusan daripada Jabatan Pendidikan negeri untuk meneruskan sesi persekolahan mereka,” katanya.

Tambah beliau, ibu bapa angkat kanak-kanak berkenaan menghadapi masalah untuk mendapatkan pasport negara asal mereka kerana kedudukan ibu kandung pada masa ini tidak diketahui.

Dalam pada itu, katanya, sejak 2013 pihaknya menerima 2,000 aduan berhubung isu pendaftaran kanak-kanak bukan warganegara ke sekolah kerajaan.

“Bagaimanapun, hanya 10 peratus kes yang dapat diselesaikan ekoran pelbagai isu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya