BUTTERWORTH: Kejadian kebakaran kabel elektrik di bawah Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 3.2 dekat Perai dekat sini berulang semula pagi ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 9.17 pagi.
“Sebaik sahaja menerima laporan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Bandar Perda dan Paya Terubong ke lokasi bagi operasi memadamkan kebakaran.
“Operasi itu turut dibantu Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) dan agensi-agensi lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut jurucakap itu, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan punca kejadian masih dalam siasatan.
Semalam, Jambatan Pulau Pinang mengalami kesesakan selepas pengguna melihat asap keluar dari tengah jalan menerusi pelitup jeriji kira-kira pukul 4 petang berpunca daripada kebakaran kabel elektrik di bawah jambatan tersebut. – UTUSAN ONLINE