Jumlah ingkar SOP turun sedikit kepada 594 individu

Jumlah ingkar SOP turun sedikit kepada 594 individu

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bilangan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam menunjukkan sedikit penurunan berbanding 596 individu kelmarin.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya seramai 594 individu yang diberkas dan daripada jumlah itu, 569 dikompaun manakala 25 lagi direman.

“Kesalahan paling tinggi ialah tidak patuh jarak fizikal sebanyak 144 individu diikuti rentas kawasan tanpa kebenaran dengan 127 individu,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Selain itu ujarnya, tidak memakai pelitup muka (77), gagal sedia alat rekod butiran (74), keluar rumah tanpa alasan munasabah (57) dan membawa penumpang secara berlebihan (31).

Juga kesalahan yang direkodkan ialah aktiviti pusat hiburan (23), aktiviti sukan (17), premis sengaja beroperasi lebih masa atau secara tanpa kebenaran (5) dan pelbagai kes lain (39).

Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 77,759 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,525 pasukan di seluruh negara.

Ismail Sabri menambah, 15,881 anggota semalam telah memantau sejumlah 8,403 buah restoran, 4,405 pasar raya, 3,972 bank, 2,273 penjaja, 1,763 kilang dan 948 pejabat kerajaan.

Turut diperiksa oleh pasukan itu di seluruh negara semalam jelas beliau lagi, 1.139 terminal pengangkutan darat, 299 terminal pengangkutan air dan 109 terminal pengangkutan udara.

Seramai lima pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan ketika cuba ceroboh semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan wabak Covid-19.

“Tiga kenderaan darat turut dirampas selain tiga buah bot atau kapal yang dicurigai turut dikesan ada belayar berdekatan dengan kawasan sempadan perairan negara,” katanya lagi.

Op Benteng itu ujar beliau lagi, turut mengadakan 539 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 46 dilaksanakan polis.

Ismail Sabri memaklumkan sejumlah 117 operasi sanitasi awam juga dibuat semalam yang meliputi sebanyak 48 zon merah, empat zon jingga, tujuh zon kuning dan satu zon hijau.

Ia ujar beliau, melibatkan penugasan seramai 300 anggota bomba selain 178 anggota pihak berkuasa tempatan dan lima dari pelbagai agensi lain dengan penggunaan 49 jentera bomba.

Menyentuh kuarantin wajib, seramai 577 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah pun diarahkan untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.

“Sejumlah 123,852 individu pulang ke negara ini sejak 24 Julai lalu sudah melalui kuarantin wajib di 69 buah hotel serta 12 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.

Seramai 599 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan manakala 117,964 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barang di 546 peruncit, 161 pemborong dan 32 pengilang.

Penguat kuasa kementerian itu tambahnya, juga melakukan 1,848 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan dua premis diberi nasihat, satu dikenakan amaran dan lima dikompaun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya